Pilih Bahasa

Usaha penghantaran PTI balik ke negara akan diteruskan

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan teruskan usaha pentadbiran terdahulu untuk menghantar balik pendatang tanpa izin (PTI) yang berada di negeri ini ke negara asal mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau telah berbincang dengan kerajaan Filipina berkenaan mekanisme memastikan rakyatnya dapat dihantar kembali ke negara mereka.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Namun, jelasnya ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk bekerjasama dengan kerajaan terbabit untuk menghantar balik rakyatnya.

“Tapi itu memang usaha kita untuk memastikan ia dilaksanakan. Kita mesti laksanakan tetapi kita berhadapan dengan pelbagai masalah.

“Namun, kerajaan tetap memberikan ia keutamaan. Antara keutamaannya adalah dari segi keselamatan dan bagaimana untuk memastikan supaya mereka dihantar balik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tan Sri Musa Aman (Umno-Sungai Sibuga) berkaitan adakah usaha kerajaan terdahulu yang menghantar balik kira-kira 6,000 PTI ke negara asal setiap bulan diteruskan oleh kerajaan pemerintah pada masa kini selama memerintah negeri kira-kira hampir setahun.

Bagaimanapun, Mohd Shafie berkata kerajaan turut memerlukan sejumlah tenaga kerja dari negara luar seperti dalam sektor perladangan.

“Cuma, mungkin seperti yang saya tekankan bahawa jika mereka ini bukan rakyat Malaysia, kita perlu hantar mereka balik ke negara asal mereka.

“Sekiranya mereka mempunyai hubungan kait dengan perkahwinan dengan orang tempatan, ia adalah kes lain yang perlu kita tangani,” jelasnya. -SabahNewsToday

-Tamat