Pilih Bahasa

Usahawan wanita luar bandar disaran lipatganda usaha majukan perniagaan

Ewon bergambar bersama sahabat-sahabat AIM pada majlis penghargaan Lembaga Perwakilan Sahabat (LPS) Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Blok Taginambur di Dewan Kampung Gaur. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

Usahawan wanita luar bandar disaran lipatganda usaha majukan perniagaan

KOTA BELUD: Golongan usahawan wanita luar bandar khususnya kaum ibu disaran melipatgandakan usaha bagi memajukan perniagaan masing-masing, sekaligus membolehkan mereka berdaya saing dalam dunia perniagaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick yakin usahawan wanita luar bandar juga mampu bersaing dengan usahawan bandar dengan adanya kesungguhan dan  tidak mudah berputus asa.

Beliau berkata kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan pinjaman, kursus keusahawanan dan khidmat nasihat untuk membantu usahawan atau peniaga wanita memajukan perniagaan mereka.

“Misalnya kementerian ada peruntukan khusus untuk keusahawanan desa. Kita melaksanakan pelbagai program pembasmian kemiskinan termasuk Program Pembangunan Usahawan Desa yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan golongan sasar melalui aktiviti keusahawanan,” katanya.

Ewon (tiga dari kanan) menerima cenderahati daripada Roslie. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penghargaan Lembaga Perwakilan Sahabat (LPS) Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Blok Taginambur di Dewan Kampung Gaur, di sini semalam.

Turut hadir Penolong Pengurus Wilayah AIM Sabah, Roslee Moksin; Pengurus Cawangan AIM Kota Belud, Roslie Arif; Ketua Daerah Kadamaian, Jaintin Molondoi dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian Saikom Watis.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian turut memuji usaha AIM membantu usahawan khususnya wanita menceburi bidang perniagaan melalui kemudahan pinjaman. 

“Saya difahamkan sebahagian besar penerima pinjaman itu membabitkan golongan B40 dan tiada keupayaan memohon bantuan pembiayaan daripada institusi kewangan yang lain.

“Saya berharap melalui bantuan pinjaman daripada AIM golongan wanita luar bandar dapat memulakan seterusnya mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Ewon (tiga dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang sahabat AIM Blok Taginambur. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

Sementara itu Roslie berkata, sehingga kini, cawangan AIM Kota Belud adalah antara yang terbaik di Malaysia dari segi pengeluaran pinjaman, keahlian dan pembayaran balik pinjaman.

Beliau berkata, bagi Blok Taginambur sahaja AIM mengeluarkan pinjaman hampir RM1 juta pada tahun ini kepada ahli-ahli AIM kawasan itu. Kebanyakan mereka mengusahakan perniagaan kecil-kecilan berasaskan pertanian, penternakan dan peruncitan kecil-kecilan.

Secara keseluruhannya seramai 4,025 ahli sahabat AIM di Kota Belud dan daripada jumlah itu 415 orang adalah Blok Taginambur melibatkan 10 buah kampung iaitu Kampung Pinolobu, Podos, Gaur, Gensurai, Tinata, Narinang, Bayayat, Ratau, Lasau Tintapon dan Singah Mata.

AIM menyediakan pembiayaan pinjaman bermula dari RM1,000 sehingga RM30,000 dengan tempoh pembayaran tiga bulan hingga dua tahun. – SabahNewsToday