Pilih Bahasa

Usahawan wanita muda perlu tingkat keupayaan diri

Oleh Sabah News Today

SANDAKAN: Usahawan wanita muda diminta terus berusaha meningkatkan keupayaan diri bagi menghadapi cabaran masa kini khususnya dalam bidang perniagaan dan keusahawan.

Ketua Srikandi Penaja Parti Bersatu Bahagian Libaran, Anna Bell Perian berkata, setiap orang tidak boleh berasa selesa dengan pencapaian yang ada sebaliknya perlu meneroka bidang baharu atau menambah ilmu pengetahuan.

Perserta kursus bergambar kenangan sama Anna Bell dan Jakariah semasa Kursus Quick Win Bakery Kemas Negeri Sabah di Kampung Batu Putih Sandakan. – Gambar SNT/Ihsan Bersatu Libaran

Menurut beliau, berdasarkan perkembangan semasa terutama dalam kemajuan teknologi digital dan globalisasi, setiap usahawan wanita muda tidak boleh ketinggalan daripada menguasai ilmu dan kemahiran baharu.

“Satu cabaran yang perlu kita hadapi dalam dunia realiti hari ini ialah cabaran perubahan minda. Hal ini sememangnya diberi penekanan oleh kerajaan yang mahu melahirkan masyarakat berdaya saing, proaktif dan dinamik selari dengan keperluan semasa.

“Kerajaan mahu rakyat hari ini setanding dan mampu bersaing dengan bangsa-bangsa lain, duduk sama rendah berdiri sama tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kursus Quick Win Bakery Kemas Negeri Sabah di Kampung Batu Putih Sandakan sini semalam.

Beliau melahirkan harapan agar kursus seperti itu dapat meningkatkan kemahiran diri para peserta sekali gus membantu menambah pendapatan keluarga masing-masing.

“Program Quick Win ini adalah satu program yang sangat baik dan perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh para peserta kursus. Diharap kepada peserta dapat meningkatkan kemahiran sedia ada, sekaligus meningkatkan pendapatan keluarga,” katanya.

Tambah beliau, pihak kerajaan berharap sasaran peserta yang terdiri daripada golongan kumpulan B40 dapat diperluaskan dalam kalangan belia dan beliawanis, suri rumah, ibu tunggal, peserta kursus kemahiran kemas dan golongan orang kurang upaya.

“Melalui program sebegini, kita dapat membantu masyarakat untuk terus meningkatkan keupayaan diri, berdikari dan berdaya saing. Sekali gus menghapuskan mentaliti untuk terus dibantu dan mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan,” ujar beliau.

Beliau berkata, program seperti itu juga menunjukkan bahawa kerajaan begitu prihatin dan peka terhadap tuntutan rakyat terutamanya golongan wanita untuk memperbaiki taraf hidup mereka.

“Adalah menjadi harapan saya agar peserta program masakan bakeri ini dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dan menyuntik semangat untuk terus berjaya dalam bidang diceburi,” katanya lagi. – SabahNewsToday