Pilih Bahasa

Usia Penampang mula operasi di pejabat baharu hujung tahun ini

PUTATAN: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) Bahagian Penampang bakal berpindah ke pejabat baharu yang teletak di Masjid Jamek Putatan dijangka pada penghujung tahun ini.

Ketuanya, Datuk Haji Uda Sulai berkata pejabat tersebut akan di ubahsuai dan beroperasi secara gunasama dengan ahli jawatan kuasa masjid berkenaan.

Uda merakamkan kenangan bersama ajk USIA Bahagian Penampang. – Gambar SNT/Ihsan Usia

“Saya sudah berbincang dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAINS) Sabah mengenai perkara ini dan telah mendapat peruntukan untuk itu.

“Pada yang tidak tahu, Masjid Jamek merupakan satu-satunya masjid yang ada di daerah ini dan digunakan oleh masyarakat sekitarnya untuk menunaikan solat Jumaat pada setiap minggu.

“Mesyuarat pertama Usia telah dijalankan disana suatu ketika dahulu hingga wujudnya pertubuhan kita pada hari ini, dan dengan itu kita berbangga menjadikannya sebagai pejabat bagi mengenang jasa pejuang dan para ulama kita di Putatan,” kata Uda.

Uda ketika menyampaikan ucapan sebelum mesyuarat dimulakan. – Gambar SNT/Ihsan Usia

Tambahnya juga, bilik mesyuarat yang ada nanti akan dibuka untuk kegunaan cawangan di Bahagian Penampang untuk bermesyuarat apabila suda siap kelak.

Uda berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Usia Bahagian Penampang kali ke 33/2019 bertempat di Wisma Sri Kajura, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Uda turut memuji semua cawangan Usia di Bahagian Penampang yang bergerak aktif menjalankan aktiviti terutama sekali ceramah-ceramah agama di kawasan masing-masing.

“Walaupun aktiviti pada bahagian tidak banyak dilakukan, tetapi semua cawangan sangat aktif mengaturkan pelbagai aktiviti seperti di Pasir Putih, Petagas, Masjid Jamek, Ketiau dan Meruntum yang di penuhi dengan ceramah yang diaturkan sepanjang minggu dan saya berharap kita teruskan acara seperti itu.

“Saya harapkan juga, apa sahaja acara kerajaan negeri yang melibatkan keagamaan seperti sambutan Maulidur Rasul akan mendapat sokongan semua cawangan dengan cara turut serta dan mengambil bahagian agar sentiasa kekal aktif,” serunya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Matin Pandin; Ketua Penerangan Bahagian, Datuk Mohd Dahali Matsin; Bendahari Bahagian, Adnan Ibrahim; Ketua Wanita Bahagian, Nanih Abah; Timbalan Pengerusi Tetap, Mohamed Salleh dan Setiausaha Bahagian, Zainuddin -SabahNewsToday