Pilih Bahasa

USNO BARU KINI RASMI

Oleh Alfred Petrus

Ibrahim (depan tengah), Leong (depan kanan) dan Setiausaha Agung Usno Baru Matbee Ismail (depan kiri) bergambar bersama beberapa Ahli Majlis Tertinggi baru parti berkenaan pada sidang media tersebut. Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) Baru dilancarkan secara rasminya hari ini – lima tahun selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menerima pendaftarannya.

Presiden baharu Ibrahim Linggam berkata mereka tidak dapat melancarkan Usno Baru pada 2013 kerana terdapat sedikit pertikaian dalam pemilihan Ahli Majlis Tertinggi.

“Dalam pada itu, RoS mengarahkan untuk membekukan segala aktiviti parti buat sementara waktu sehingga masalah itu selesai,” katanya.

Menurut beliau, mereka menerima surat daripada RoS baru-baru ini mengarahkan Usno Baru mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM).

“Oleh itu Usno Baru menjalankan Mesyuarat dalam kalangan ahli Jawatankuasa Penaja untuk memilih Ahli Majlis Tertinggi yang baru atas arahan RoS.

“Buat masa ini, hanya 10 orang yang hadir dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) daripada 13 orang jawatankuasa asal yang mana dua daripadanya telah meninggal dunia dan seorang lagi menyertai parti lain,” katanya dalam satu sidang media selepas AGM Usno Baru di sini pada Khamis.

Katanya beliau menggantikan jawatan presiden parti berkenaan yang dipegang oleh Dulli Tiaseh @ Tiasi sebelum ini dengan memperoleh lapan undi.

Tambahnya dengan tertubuh secara rasminya parti tersebut membolehkan mereka untuk memberikan fokus dalam pendaftaran keahlian dan penubuhan bahagian cawangan seluruh negeri.

“Kami akan mengadakan mesyuarat pada pertengahan Disember bagi membincangkan pergerakan parti pada masa akan datang termasuklah mengumpulkan semula ahli-ahli parti termasuk ahli lama,” jelasnya.

Mengulas berkenaan hala tuju Usno Baru dalam tampuk pemerintahan baru, Ibrahim berkata partinya kini bersifat neutral iaitu tidak menyebelahi kerajaan mahupun pembangkang.

Sementara itu, Timbalan Presiden Usno Baru Leong Chau Chu berpesan agar ahli-ahli Usno terdahulu untuk bersama-sama menghidupkan kembali parti tersebut dan kembali ke pangkal jalan. -SabahNewsToday