Pilih Bahasa

UTAMAKAN SABAH AIR DALAM SEKTOR PENERBANGAN OFFSHORE PERAIRAN SABAH

Oleh Chris Maskilone

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan Kerajaan Negeri Sabah, Sabah Air Sdn Bhd harus diberi keutamaan dalam pasaran sektor penerbangan offshore perairan Sabah.

Ahli Parlimen Putatan Awang Husaini Datuk Haji Sahari berkata Sabah Air yang telah menjalin usahasama dengan UZMA Teras pada 2012 hanya mendapat 20 peratus daripada pasaran sektor ini melalui Petronas Carigali.

Awang Husaini Datuk Haji Sahari. Gambar Fail SNT

“Baki 40 peratus dikuasai oleh Syarikat Hevilift (M) Sdn Bhd yang beroperasi untuk Murphy Oil Corporation di Labuan.

“Manakala baki 40 peratus lagi dikuasai oleh Syarikat Weststar Aviation yang beroperasi untuk Kebambangan Petroleum Operating Company dan juga Shell,” katanya.

Berdasarkan situasi ini adalah jelas terbukti bahawa berlakunya ketidakseimbangan peluang dalam pembahagian pasaran yang sepatutnya lebih perlu diberikan kepada syarikat tempatan atau secara lebih tepatnya syarikat Sazma Aviation Sdn Bhd (syarikat usahasama Sabah Air dan UZMA Teras).

Mengambil bahagian dalam perbahasan terhadap usul menjunjung kasih Titah DiRaja di Dewan Rakyat hari ini, Awang Husaini berkata kontrak helikopter yang digunakan untuk Murphy Oil Corporation di Labuan akan tamat pada bulan Jun tahun ini.

Katanya kontrak tersebut masih dalam proses penilaian untuk dipanjangkan.

“Selaku Ahli Parlimen daripada negeri Sabah, saya memohon agar kontrak ini diberi kepada SAZMA Aviation Sdn Bhd dan pertimbangan untuk memanjangkan lagi kontrak difikirkan tidak perlu lagi.

“Tambahan pula, perintis bagi kontrak di Murphy Oil Corporation dimulakan oleh SAZMA Aviation Sdn Bhd pada tahun 2014,” katanya.

Beliau meminta Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan juga Petronas selaku pihak bertanggungjawab mengeluarkan lesen vendor di dalam sektor ini agar segara mengubah dasar lama yang sekian lama dilaksanakan.

Dengan memegang 65 peratus bahagian pasaran sektor ini ianya sudah tentu menyumbang kepada penjanaan ekonomi negeri Sabah dan juga hasil kepada syarikat milik Kerajaan Negeri Sabah.

Dalam satu lagi isu, Awang Husaini menyeru agar Sabah diwakili disetiap satu anak syarikat Petronas.

“Hari ini saya bangkit menyuarakan kebimbangan saya tentang tiadanya peranan negeri Sabah atau anak jati negeri Sabah itu sendiri dalam kelompok ahli lembaga pengarah Petronas.

“Sejak dari tahun 1974 bermula dari Petronas ditubuhkan sehinggalah tahun 2016 hanya seorang anak jati negeri Sabah dilantik menjadi wakil kerajaan negeri Sabah dalam Lembaga Pengarah Petronas,” katanya.

Sabah ialah pengeluar sumber minyak dan gas di Malaysia oleh itu rakyat Sabah mahu adanya penyertaan orang Sabah dalam setiap syarikat Petronas yang beroperasi di negeri itu, katanya.

Beliau berkata pada masa ini tiada satupun rakyat Sabah yang dilantik dalam lembaga pengarah Petronas Global, Petronas Dagangan Berhad, Petronas Gas Berhad, Petronas Chemical Fertiliser Sdn Bhd, Petronas Chemical Methanol Sdn Bhd dan Petronas Cari Gali Sdn Bhd.-SabahNewsToday