Pilih Bahasa

Vivian Wong minta KPM teliti tawaran program pengajian UMS di Sandakan

Sekolah Pertanian Lestari Universiti Malaysia Sabah Sandakan. Gambar Bernama

SANDAKAN, 15 Julai (Bernama) — Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melihat tawaran program pengajian yang sesuai, khususnya kepada pelajar di Sandakan bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian di Kampus Fakulti Pertanian Lestari Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Hab Pendidikan Sandakan di sini.

Menurutnya, beliau difahamkan fakulti itu ketika ini hanya menawarkan tiga program yang mendapat sambutan rendah dalam kalangan pelajar Sandakan iaitu pengeluaran tanaman, hortikultur dan landskap dan pengeluaran ternakan.

“Program ini tidak mencapai keperluan atau menjadi pilihan pelajar dan juga difahamkan ia menyebabkan ramai anak Sandakan terpaksa meninggalkan Sandakan untuk melanjutkan pendidikan mereka di tempat lain selepas menamatkan sekolah menengah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wong berkata beliau telah membangkitkan perkara itu kepada Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching dalam satu pertemuan di Parlimen baru-baru ini.

Beliau turut memberitahu Teo mengenai isu penghijrahan anak tempatan Sandakan ke tempat lain untuk melanjutkan pelajaran dan seterusnya mencari pekerjaan.

“Sebagai maklum balas, Timbalan Menteri Pendidikan berkata pada masa ini, seramai 398 pelajar sedang mengikuti pengajian dalam peringkat sarjana muda, sarjana dan kedoktoran (PhD) di UMS di kampus Sandakan.

“Buat masa ini, KPM juga sedang menumpukan perhatian dan usaha untuk mengukuhkan kualiti institusi pengajian tinggi tempatan.

“KPM juga prihatin terhadap isu-isu (di Sandakan) yang dibangkitkan dan akan menerima serta mempertimbangkan cadangan saya dengan teliti supaya dapat memenuhi keperluan rakyat,” katanya.

Ahli Parlimen Sandakan itu percaya jika KPM atau pihak universiti berkenaan berhasrat untuk membuat penyelarasan dengan membuka program pilihan ramai dalam kalangan mahasiswa tempatan, masalah seperti pendaftaran rendah bagi program bukan pilihan akan dapat diselesaikan.

UMS telah menubuhkan Fakulti Pertanian Lestari di Hab Pendidikan Sandakan pada 2011 dan mampu menampung 1,000 pelajar dalam satu masa.

— BERNAMA