Pilih Bahasa

VK Liew sepatutnya nasihati PM rujuk RUU kepada Jawatankuasa Pilihan Khas: Rahman Dahlan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KUALA LUMPUR: Langkah besar Kerajaan Persekutuan membawa Rang Undang-Undang pindaan Perlembagaan perkara 1(2) Perlembagaan Malaysia yang dibentang oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed patut diberikan pujian.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata bagaimanapun setelah dibahaskan selama berjam-jam tetapi RUU tersebut gagal mendapat dua pertiga dalam pengundian di Parlimen semalam.

Datuk Abdul Rahman Dahlan. Gambar Fail SNT

Menurut Abdul Rahman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong yang membuat deraf RUU berkenaan gagal menyampaikan intipati sebenar selain tidak mewakili apa dimahukan Sabah dan Sarawak sekaligus memberikan maklumat yang betul kepada Dr Mahathir.

“Saya tidak salahkan Perdana Menteri kerana yang membuat deraf RUU ini adalah Menteri Undang-Undang, Datuk VK Liew yang nyata gagal memahami kehendak sebenar ahli-ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak dalam isu pindaan perlembagaan ini. Menteri ini gagal memberi maklumat yang betul kepada PM!

“Walaupun Rang Undang-Undang ini satu langkah besar Tun Mahathir yang patut diberi pujian, namun ia gagal kerana intipatinya tidak mewakili apa yang Sabah dan Sarawak mahukan, malah ia akan memberi lebih banyak kesulitan kerana tafsiran kandungannya yang tidak menentu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Rang Undang-Undang tersebut dibentangkan sebagai usaha menggembalikan hak-hak dan kesitimewaan Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Namun selepas dibentangkan RUU itu kekurangan 10 undi untuk mendapat majoriti dua pertiga apabila hanya meraih 138 undi anggota Parlimen yang menyokong pindaan manakala 59 pula tidak mengundi dan tiada menolak.

Dalam pada itu Abdul Rahman berpendapat Liew sewajarnya menasihati Dr Mahathir untuk menerima cadangan ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak serta beberapa ahli Parlimen pembangkang dari Semenanjung untuk membawa RUU itu ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (Special Select Committee) untuk memperhalusi corak bahasa dan ayat RUU tersebut.

Tambah beliau lagi kekalahan kerajaan Pakatan Haparan (PH) dalam pengundian itu bermakna Menteri Undang-Undang tidak membuat “`kerja rumah’ sebelum Dr Mahathir membentangkan RUU.

“Beliau (Liew) tidak peka terhadap sentimen MP-MP. Sebenarnya Datuk VK Liew tahu bahawa beliau perlukan sokongan MP pembangkang untuk mendapat jumlah dua pertiga undi tapi kenapa beliau tidak mahu berkompromi walaupun beliau tahu tidak akan mendapat undi dua pertiga dan malukan PM?

‘Sudah beberapa hari ahli-ahli Parlimen pembangkang memberi isyarat kepada Datuk VK Liew untuk berkompromi dan membawa RUU ini ke Select Committee.

“Tidak ada ruginya kalau beliau bersetuju kerana ini adalah RUU yang akan mengubah landskap Persekutuan negara kita buat selama-lamanya. Kalaulah dibawa ke Select Committee, semua pihak akan menang dan tentunya Perdana Menteri akan mendapat pujian daripada semua pihak,” jelasnya. – SabahNewsToday