Pilih Bahasa

VOLUNTOURISM-PENANAMAN TERUMBU KARANG TIRUAN, TARIKAN PELANCONGAN TERBARU SABAH

Oleh Zakaria Damit

Ahmad Zaki (kanan) bersama bersama ahli Media Dive Team dan Sabah Backpackers Association menanam terumbu karang. Gambar SNT/Ehsan MOTAC

KOTA KINABALU: Pakej ‘Voluntourism’: “Penanaman Terumbu Karang Tiruan” merupakan tarikan baru bagi meningkatkan lagi kehadiran pelancong dalam dan luar negara berkunjung ke negeri Sabah.

Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri, Ag Ahmad Zaki Abu Bakar berkata melalui pakej baharu ini pelancong akan didedahkan kepada penjagaan ekosistem di dasar laut sekaligus dapat membantu meningkatkan kualiti ekosistem hidupan marin di negeri ini.

Voluntourism – penanaman terumbu karang tiruan mampu menjadi satu lagi tarikan pelancongan unik bagi Sabah. Gambar SNT/Ehsan MOTAC

Katanya kaedah penghasilan tukun tiruan direka menggunakan sistem mesra alam iaitu simen serta lumpur bakau sebagai pelekat batu bata yang di bina dalam air.

“Penghasilan tukun tiruan mudah, murah serta sangat efisien dengan menjadikan ianya sebagai tapak semaian untuk menanam terumbu karang yang rosak atau patah,” katanya.

Menurut Ahmad Zaki terdapat dua kaedah penanaman terumbu karang iaitu diangkat naik ke darat untuk menunggu agen pelekat sama ada simen atau epoxy mengering dan seterusnya dibawa semula ke dalam air katanya.

Kaedah kedua adalah menggunakan “cable tie” untuk mengikat terumbu karang ini kepada kerangka besi atau plastik (PVC).

Ahmad Zaki turut sama dengan Media Dive Team dan Sabah Backpackers Association menanam terumbu karang. Gambar SNT/Ehsan MOTAC

Kaedah penanaman karang yang diperkenalkan ini, tidak perlu dinaikkan ke darat, malah tempoh sentuhan dapat dikurangkan sekaligus kerosakan dapat dikurangkan selain dapat menghasilkan terumbu karang yang berkualiti lebih tinggi.-SabahNewsToday