Pilih Bahasa

Wanita cedera kenderaan dihempap muatan besi

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Kenderaan Perodua Alza yang terbabas ke kiri jalan gara-gara dihempap muatan sebuah lori di Jalan Tanjung Batu Laut, Tawau. – Gambar SNT / Ehsan IPD Tawau

TAWAU: Seorang wanita cedera dalam kemalangan jalan raya selepas kenderaannya dihempap muatan besi sebuah lori muatan sehingga menyebabkan kenderaannya hilang kawalan lalu terbabas di Jalan Tanjung Batu Laut.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi tadi apabila mangsa, Hasmah Hussin dalam perjalanan dari arah Tanjung Batu menghala ke bandar Tawau manakala lori berkenaan dari pelabuhan menuju ke pengkalan Hup Seng.

Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata mangsa mengalami kecederaan ringan pada bahagian kepala akibat kemalangan itu.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat kecuaian pemandu lori berkenaan yang tidak menguruskan muatan dengan baik sehingga menyebabkan muatan yang dibawa terjatuh.

Polis trafik dibantu orang awam memindahkan besi yang terjatuh dari muatan sebuah lori yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Tanjung Batu Laut. – Gambar SNT / Ehsan IPD Tawau

“Muatan besi yang dibawanya secara tiba-tiba jatuh dan menghempap bahagian hadapan kenderaan wanita itu dan semasa hendak mengelak, kereta jenis Perodua Alza yang dipandunya terbabas ke kiri jalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fadil berkata siasatan kes masih dijalankan mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalulintas 166/59. – SabahNewsToday