Pilih Bahasa

Wanita digesa jalani ujian pap smear dan HPV DNA cegah kanser servik

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Tarsiah (empat kanan) bersama ahli kelab rotary selepas merasmikan Program Medical Outreach Saringan Kanser Serviks (Ujian HPV DNA) di Wisma Wanita, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Golongan wanita diminta sentiasa membuat ujian pap smear serta ujian HPV DNA usaha menangani kanser servik di negeri ini.

Presiden Kelab Rotary Kota Kinabalu Pearl, Datuk Dr Tarsiah TZ Taman berkata dua ujian itu penting bagi wanita bagi memastikan golongan mengetahui keadaan kesihatan masing-masing.

Tarsiah berkata ramai wanita masih beranggapan ujian seumpama ini hanya untuk idividu yang sakit sahaja namun hakikatnya pemeriksaan itu adalah langkah awal untuk mencegah kanser.

“Syukur jika kita disahkan sihat selepas menjalani ujian tapi sekiranya dikesan mempunyai tanda awal atau wujudnya kanser, wanita harus membuat rawatan susulan.

“Kita lihat kesedaran dalam diri wanita khususnya di negeri ini masih kurang. Ia termasuklah wanita tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman. Oleh itu, kita merancang untuk menganjurkan lebih banyak program kesedaran selepas ini,” katanya.

Tarsiah TZ Taman. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program Medical Outreach Saringan Kanser Serviks (Ujian HPV DNA) di sini hari ini.

Tarsiah berkata pihaknya juga merancang untuk melaksanakan program kesedaran dalam kalangan wanita di luar bandar serta pedalaman yang dijangka sebelum penghujung tahun ini.

Beliau berkata kelab berkenaan sudah melakukan program sama di Pitas tahun lepas dan ia menunjukkan penerimaan positif daripada wanita di daerah terbabit.

“Kira-kira 100 wanita menjalani ujian Pap Smear dan hasilnya hanya beberapa wanita sahaja dikesan mempunyai masalah serta memerlukan pemeriksaan susulan manakala selebihnya sihat.

“Bagaimanapun, kita harus membuat perbincangan dan persediaan rapi sebelum membuat program ini kerana ia melibatkan beberapa pihak seperti Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sabah serta Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah.

“Perbincangan penting disebabkan kita mahu melihat statistik semasa bagi sesuatu daerah atau kawasan yang mempunyai peratus tertinggi untuk diberi keutamaan sebelum program sama diperluas ke seluruh negeri,” katanya. – SabahNews Today