Pilih Bahasa

Wanita disyaki dibunuh ditemui di tepi jalan di Papar

Oleh Junaidi Ladjana

PAPAR: Mayat seorang wanita dipercayai dibunuh ditemui terbaring di tepi jalan di Kilometer 30, Jalan Papar – Beaufort, di sini, hari ini.

Wanita yang belum dapat dikenalpasti identitinya itu ditemui pada jam 9.30 pagi tadi dengan beberapa kesan luka di badannya.

Mayat wanita terbaring disyaki dibunuh di tepi jalan di Kilometer 30 Jalan Papar – Beaufort. Gambar SNT/Ihsan Polis

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew AK Umpit berkata mangsa ditemui oleh seorang pandu lori yang melalui jalan berkenaan.

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring oleh seorang pemandu lori yang kemudiannya bertindak melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

“Hasil pemeriksaan terhadap mangsa mendapati hidung berdarah serta terdapat beberapa kesan luka pada tubuhnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Batholomew berkata berdasarkan siasatan polis, terdapat kesan tikaman pada bahagian rusuk belakang sebelah kiri mangsa.

Katanya, siasatan masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau mempunyai pertalian dengan mangsa diminta tampil membantu siasatan polis.

Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi mayat wanita terbabit di Kilometer 30 Jalan Papar – Beaufort. Gambar SNT/Ihsan Polis

“Sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, Asisten Superintendan Rosli Rasi,” katanya

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – SabahNewsToday