Pilih Bahasa

Wanita disyaki mabuk rempuh stesen minyak

Oleh Junaidi Ladjana

TENOM: Seorang wanita dipercayai memandu dalam keadaan mabuk ‘bernasib baik’ apabila hanya cedera ringan walaupun kereta yang dipandunya merempuh kedai stesen minyak di kilometer 1, Jalan pekan Tenom-Keningau, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.15 pagi itu, wanita berusia 35 tahun itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari pekan Tenom.

Bagaimanapun, ketika sampai di lokasi kejadian, wanita yang memandu kereta jenis Proton Saga dipercayai hilang kawalan lalu merempuh kedai stesen minyak berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata kereta Proton Saga yang dipandu wanita itu merempuh cermin hadapan kedai, peti sejuk dan beberapa rak yang menempatkan barang jualan.

“Pemandu terbabit hanya mengalami kecederaan calar di lengan.

“Polis sudah mengambil sampel darah pemandu untuk tujuan ujian alkohol kerana disyaki memandu dibawah pengaruh minuman yang memabukkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan membabitkan pelanggan dan pekerja di stesen minyak berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum denda tidak kurang RM4,000 dan tidak lebih RM10,0000 dan boleh juga dipenjarakan selama tempoh tidak lebih dua belas bulan,” katanya. -SabahNewsToday