Pilih Bahasa

WANITA DITAHAN CUBA SELUDUP KELUAR TONG GAS LPG

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Wanita tempatan yang ditahan disyaki cuba seludup keluar tong gas LPG ke negara jiran. – Gambar SNT/Ihsan PPM

TAWAU: Seorang wanita tempatan ditahan ketika cuba membawa keluar lapan tong gas cecair petroleum (LPG) ke negara jiran melalui Pelabuhan CIQ, di sini.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pihaknya yang sedang menjalankan Operasi Landai menahan kenderaan jenis Toyota Vigo yang dipandu suspek berusia 66 tahun pada pukul 7.45 pagi.

Tong gas LPG yang cuba diseludup keluar ke negara jiran. – Gambar SNT/Ihsan PPM

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan menemukan sebanyak lapan tong gas LPG yang dipercayai cuba dibawa keluar melalui Pelabuhan CIQ ke Sebatik, Indonesia.

“Suspek turut gagal menunjukkan sebarang surat atau dokumen kebenaran daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membawa barangan terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Pajeri berkata semua barangan termasuk kenderaan dianggarkan bernilai RM81,440 dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM daerah ini untuk siasatan lanjut.

Katanya suspek turut ditahan dan disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Perkara 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – SabahNewsToday