Pilih Bahasa

Wanita ditemui meninggal dunia di bilik sewa di Kampung Air

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Rakaman video tular yang memaparkan satu mayat wanita diangkat keluar dari sebuah premis di Jalan Tugu, Kampung Air, di sini,
dipercayai meninggal dunia akibat penyakit dihidapinya dan bukan Covid-19.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, wanita yang dikenali sebagai Peggy Wong Bik Kee, 37, dikatakan menghidapi penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HQEI untuk ujian Covid-19 sebelum proses bedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kematiannya. Gambar SNT/Sumber Media Sosial

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata siasatan awal mendapati wanita berkenaan tinggal seorang di tempat kejadian sejak empat tahun lalu.

Katanya sebaik pintu bilik mangsa dibuka oleh pemilik rumah menggunakan kunci pendua, mangsa didapati terbaring di atas tilam dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pasukan paramedik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia pada jam 1.04 petang.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik HQEI untuk ujian Covid-19 sebelum proses bedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kematian mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji. Gambar Fail SNT/Mohd Adam Arinin

Habibi berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Sementara itu, Habibi meminta orang ramai supaya tidak menularkan video berkenaan dan berhenti membuat spekulasi sementara menunggu laporan perubatan pihak hospital. – SabahNewsToday