Pilih Bahasa

Wanita ditemui terdampar di pantai awam Teluk Likas

Oleh Junaidi Ladjana

Wanita ditemui terdampar di tepi pantai awam Teluk Likas, Kota Kinabalu. Gambar SNT/media sosial

KOTA KINABALU: Suasana di Taman Awam Teluk, Likas di sini gempar apabila seorang wanita dewasa ditemui terdampar di tepi pantai awam berkenaan kira-kira jam 4 petang tadi.

Orang ramai yang berada di kawasan berhampiran kemudian membantu mengangkat wanita itu ke daratan sebelum menghubung pihak hospital.

Wanita tempatan berusia 50-an itu kemudian dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas, untuk rawatan lanjut.

Kejadian itu turut tular di Facebook sejak petang tadi dan bagi sesiapa yang mengenali mangsa untuk ke hospital kerana mangsa tidak sedarkan diri.

Wanita yang ditemui terdampar diangkat oleh orang awam ke daratan sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan. Gambar SNT/media sosial

Sepasukan polis yang melihat rakaman video yang tular di media sosial itu kemudian bergegas ke hospital untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.

Setakat ini mangsa dilaporkan telah sedarkan diri namun sukar berkomunikasi dengan baik.

Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar wanita itu ditemui terdampar di tepi pantai berkenaan. -SabahNewsToday