Pilih Bahasa

Wanita, kekasih ditahan susulan kes buang bayi dalam loji kumbahan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

LABUAN:  Seorang wanita tempatan ditahan bersama teman lelakinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Labuan, pagi semalam dipercayai terbabit kes penemuan mayat bayi di dalam loji rawatan kumbahan, Isnin lalu.

Wanita berusia 26 tahun itu ditahan di lapangan terbang berkenaan ketika suspek baru sahaja tiba dari penerbangan Miri-Labuan dipercayai atas urusan pekerja.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata teman lelaki suspek yang juga warga tempatan berumur 26 tahun ditahan sewaktu menunggu suspek di lokasi sama sekitar jam 11.55 pagi.

“Kedua-dua individu ini telah dibawa ke Balai Polis Labuan untuk siasatan lanjut berkaitan kes berkenaan.

“Siasatan mendapati suspek sebelum ini dipercayai mengalami pendarahan ketika berada di penginapan sewanya namun mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Nukleus Labuan selepas dihantar oleh teman lelakinya.

“Suspek yang menyewa bilik secara bersendirian di sebuah kawasan perumahan sekitar tiga bulan lalu dipercayai mengenali dan menjalinkan hubungan dengan teman lelakinya sejak kira-kira tiga tahun lalu,” katanya ketika sidang media, dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Muhamad Farid berkata teman lelaki suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama selepas siasatan selesai dilaksanakan manakala suspek wanita terbabit masih ditahan dan polis mengemukakan permohonan reman selama tujuh hari di hadapan Majistret Labuan, hari ini.

Terdahulu, mayat bayi baru dilahirkan itu ditemui di dalam loji kumbahan Taman Mahkota Impian.

Mayat bayi malang yang cukup sifat itu ditemui pekerja loji berkenaan ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan jam 10.15 pagi.

Sementara itu, beliau berkata bedah siasat mayat bayi ditemui awal minggu ini sudah selesai.

“Laporan bedah siasat menyatakan mayat bayi  malang berkenaan disahkan adalah bayi perempuan serta dianggarkan berusia enam hingga tujuh bulan.

“Masa kematian bayi ini pula dianggarkan antara dua atau tiga hari sebelum ditemui.

“Bayi perempuan itu juga dipercayai dilahirkan dalam keadaan tidak cukup bulan. Terdapat kecederaan fizikal termasuklah lebam dan bengkak dikepala sebelah kanan selain kemungkinan disebabkan ketika proses kelahiran,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayi dengan sulit.

Suspek boleh dijatuhkan hukuman penjara  selama tempoh sehingga dua tahun atau denda atau keduanya sekali jika disabitkan kesalahan. -SabahNews Today-