Pilih Bahasa

WANITA MAUT DIGILIS LORI TRELER

Oleh Alfred Petrus

Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa dari bawah lori treler. – Gambar SNT/Ihsan Bomba

SANDAKAN: Seorang wanita maut dalam keadaan mengerikan apabila badannya digilis sebuah lori treler dalam kemalangan di Batu 25 Jalan Sandakan, di sini semalam.

Kemalangan itu turut mengakibatkan suaminya cedera parah selepas motosikal ditunggangi mereka dilanggar kenderaan berat tersebut yang membawa muatan kayu balak dari arah Beluran ke Sandakan.

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 5.30 petang itu, Nuryan Tamdahon, 47 tahun, disahkan meninggal dunia serta merta kerana kecederaan parah pada bahagian badannya

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisoner Mohd Azhar Hamin berkata hasil siasatan awal polis mendapati lori treler itu terlanggar motosikal yang ditunggang suami mangsa ketika keluar dari simpang di kanan jalan.

Menurut Mohd Azhar ketika kejadian, motosikal berkenaan sedang membelok ke kanan untuk memasuki laluan lori tersebut.

“Akibat kejadian itu, suami mangsa, Ben Gali, 48, mengalami cedera parah dan dibawa ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk rawatan lanjut manakala mayat wanita itu dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat.

“Pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam masa sama beliau turut menegaskan bahawa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik melalui talian 010 9326155. -SabahNewsToday