Pilih Bahasa

Wanita maut, kenderaan dinaiki dihanyutkan arus deras

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Mayat mangsa dibawa keluar dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Gambar SNT/Ihsan JBPM Sabah

KINABATANGAN: Seorang wanita maut selepas kenderaan jenis Hilux Single Cab yang dinaiki dihanyutkan arus deras di Kampung Semundoh, Tongod dekat sini. 

Mayat mangsa dikenali pasti sebagai Maria Pongli, 35 ditemui orang awam kira-kira 40 meter dari lokasi mangsa dilaporkan dihanyutkan arus deras manakala pemandu kenderaan yang juga majikan kepada mangsa, Lee Yoke Chong, 64, sempat menyelamatkan diri. 

Difahamkan kedua-dua mangsa berhenti di lokasi kejadian berikutan laluan berkenaan dinaiki air. 

Pemandu terbabit keluar dari kenderaan untuk melihat keadaan air manakala mangsa berada di dalam kenderaan sebelum kenderaan itu dihanyutkan arus deras. 

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada pihak polis pukul 12.02 tengah hari dan bertindak ke lokasi. 

“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan seterusnya ke lokasi kejadian menaiki sebuah jentera penyelamat sejauh 130 kilometer dari balai.

“Seorang pegawai dan tiga anggota mengumpul maklumat daripada mangsa yang selamat sebelum menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) 

“Mangsa yang hilang bagaimanapun berjaya ditemui orang awam 40 meter dari lokasi mangsa dihanyutkan,” katanya dalam kenyataan. 

Pihak bomba kemudian menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 3.24 petang. – SabahNewsToday