Pilih Bahasa

WANITA PERLU TAMPIL BERANI BERSAING – AZLINAH

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Kaum wanita harus mampu berdaya maju dan bekerja sama seperti kaum lelaki.

‘Tidak perlu meletakkan alasan, wanita dihalang melakukan sebarang aktiviti,” kata Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Norazlinah Arif.

Azlinah bergambar mesra dengan peserta Bengkel Gender Dalam Pembangunan Masyarakat (UPPM) Zon Tawau. Gambar SNT/ Nasrawati Syarifuddin

Beliau berkata Sabah kini berdepan kekangan mencapai 20 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan jika golongan itu sendiri enggan bersikap terbuka.

“Kita sudah banyak usaha untuk mencapai sasaran itu termasuk memilih wanita dalam pentadbiran pimpinan peringkat kampung dan menggalakkan mereka melibatkan diri secara aktif dalam politik.

“Sabah hanya kejar 20 peratus tetapi sebenarnya kita mahu ianya mencapai 50 peratus wanita sebagai pembuat dasar tetapi ada kekangan sebab kita perlu wanita yang bukan hanya dari segi kuantiti tetapi juga kualiti,” katanya.

Azlinah menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil peserta. Gambar SNT/ Nasrawati Syarifuddin

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Penutupan Bengkel Gender Dalam Pembangunan Masyarakat (UPPM) Zon Tawau, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, Masturah Jamrah.

Bengkel selama dua hari itu melibatkan 90 peserta dari UPPM Zon Tawau.

Mengulas lanjut, beliau berkata wanita hari ini perlu mengubah cara berfikir khususnya dalam bidang politik serta sentiasa bersikap terbuka dan tidak takut kepada persaingan melibatkan perkara positif.

“Wanita kini perlu tampil berani dan tidak malu untuk belajar mencari ilmu mendalami sesuatu perkara yang boleh membantu kepada kelangsungan hidup.

“Sekarang masa untuk wanita bersaing siapa yang lebih banyak mempunyai ilmu berbanding siapa yang mempunyai tudung paling mahal kerana hanya ilmu yang mampu membantu kita,’’katanya. – SabahNewsToday