Pilih Bahasa

Wanita Upko Sokong Penuh Vivian Wong Menerajui Sandakan

KOTA KINABALU: Ketua Exco Wanita Upko Malaysia, Juliana Janni berkata Vivian wajar diberikan peluang berada dalam kepimpinan demi meneruskan perjuangan mendiang ayahnya membangunkan Sandakan.

“Lagi pula, kita bukannya mahu mengubah kerajaan, kita hanya membuat pilihan raya kecil. Lebih baik kita memilih parti yang sememangnya dalam kerajaan untuk rakyat Sandakan terus mendapat khidmat pembangunan melalui wakil rakyat parti kerajaan,” katanya.

Juliana Janni. Gambar SNT/Ihsan Upko

Juliana berkata demikian ketika ditemui semasa membuat kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Seri Panglima Wilfred Tangau di pejabat Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Juliana berpendapat Vivian perlu disokong bukan semata-mata kerana beliau calon daripada parti kerajaan tetapi melalui potensi beliau seorang yang berkeyakinan dan bercita-cita tinggi serta komited meneruskan perjuangan.

“Vivian sememangnya seorang wanita dan masih muda tapi itu bukan alasan untuk rakyat tidak mengundi beliau. Sebelum ini, Vivian juga terlibat secara langsung membantu ayahnya dalam kepimpinan iaitu pegawai khas kepada mendiang Stephen Wong, bekas Menteri Kesihatan Sabah,” katanya.

Menurut Juliana, inilah waktu dan peluang Vivian untuk menterjemahkan impian mendiang ayahnya yang telah tergendala seketika. Kemenangan majoriti mendiang pada Pilihan raya umum lalu membuktikan mendiang telah memenangi hati rakyat dan mempunyai tanggungjawab untuk merealisasikan aspirasi rakyat.

Justeru, Juliana menyeru agar para pengundi di Sandakan memberikan sokongan padu kepada Vivian dengan turun mengundi kelak.-SabahNewsToday