Pilih Bahasa

Wanita warga emas melecur dalam kebakaran di Kudat

Oleh Junaidi Ladjana

KUDAT: Seorang wanita warga emas cedera melecur di badannya selepas rumah didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Gumandang, Jalan Tajau, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa Olok Ogoim, 83, melecur 60 peratus di bahagian badannya akibat bahang panas.

Rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Gumandang, Kudat.-Gambar SNT/Ihsan Bomba

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan 5.15 pagi dan menghantar seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah yang terbakar sepenuhnya dan operasi terkawal jam 6.19 pagi.

“Terdapat seorang mangsa warga emas yang melecur 60 peratus di bahagian badan. Mangsa diselamatkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya di sini, hari ini.

Pasukan bomba memadam kebakaran membabitkan kebakaran rumah di Kampung Gumandang, Kudat.-Gambar SNT/Ihsan Bomba

Menurutnya, pasukan EMRS memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke Hospital Kudat untuk rawatan lanjut.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan bomba.

“Turut membantu operasi ialah lapan anggota Pasukan Bomba Sukarela Kampung Air. – SabahNewsToday