Pilih Bahasa

Warga asing ditahan miliki R$10 juta dipercayai palsu

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Indonesia memiliki sejumlah 1,000 keping wang tunai Real Brazil (RBL) bernilai R$10,000 setiap satu yang dipercayai palsu berjaya ditahan sepasukan polis.

Timbalan Pesuruhjaya Polis, Datuk Zaini Jass berkata suspek, 27, berkenaan ditahan dalam keadaan mencurigakan di sebuah feri di Jeti Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Tawau pada Isnin.

Zaini (dua kiri) menunjukkan wang kertas Brazil dipercayai palsu dalam sidang akhbar berkenaan. Gambar SNT/Ihsan Polis

Dalam satu sidang akhbar, Zaini berkata ketika pemeriksaan terhadap suspek dibuat kira-kira pukul 4 petang semasa feri berkenaan bertolak dari Tawau menuju ke Nunukan Indonesia mendapati wang tunai berkenaan dicetak dengan pelbagai nombor siri.

Beliau menambah nilai tukaran bagi 1BRL adalah bersamaan RM1.05 dan kesemua wang tunai R$10 juta atau RM10.05 juta itu dipercayai palsu berikutan sebahagian darinya mempunyai nombor siri sama.

Hasil siasatan awal mendapati suspek memperolehi wang itu daripada seorang lelaki warga Indonesia yang dikenali sebagai Arif di Surabaya.

Suspek kemudiannya membawa wang berkenaan ke Tawau untuk dijual dengan harga RM20,000 kepada seorang individu.

Namun, urusniaga berkenaan tidak berjaya berikutan individu yang ingin membelinya hanya menawarkan pembelian sebanyak RM10,000 menyebabkan suspek membawa balik wang asing itu.

Semasa dalam perjalanan balik, pergerakan suspek dikesan pihak polis sebelum penahanan dilakukan di jeti dan merampas wang terbabit.

“Setakat ini pihak Bank Negara Malaysia (BNM) tidak dapat mengesahkan sama ada wang terbabit tulen atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merujuk pihak kedutaan Brazil di Kuala Lumpur bagi mendapatkan pengesahan untuk memastikan status wang tunai asing ini,” katanya.

Dalam pada itu, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sumber wang diperolehi serta mengesan kemungkinan terdapat rakan lain yang turut berada di negara ini.

Susulan kes berkenaan, suspek ditahan reman sehingga 9 Ogos mengikut Seksyen 489 C Kanun Keseksaan iaitu memiliki mata wang kertas palsu yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun jika disabit kesalahan. -SabahNewsToday