Pilih Bahasa

Warga China tawar khidmat seks di pusat urut, cari wang untuk pulang ditahan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Seorang wanita warga China ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti menawarkan khidmat seks di sebuah pusat reflexologi di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata tangkapan itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Balai Polis Kota Kinabalu yang menyerbu pusat reflexologi itu kira-kira pukul 11.45 malam pada 19 Ogos lalu.

Warga China yang menawarkan perkhidmatan seks ditahan dalam serbuan di sebuah pusat reflexologi di sini. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

Habibi berkata wanita berusia 37 tahun itu juga ditahan kerana disyaki bekerja tanpa permit yang sah.

“Hasil siasatan awal suspek mengaku melakukan kegiatan pelacuran dengan cara menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan urut badan.

“Setiap perkhidmatan seks akan dikenakan bayaran sebanyak RM200 sekali langganan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Habibi lagi suspek turut mendedahkan telah datang ke Kota Kinabalu dua minggu lalu sebagai pelancong dan kemudian bekerja di premis tersebut untuk mendapatkan wang balik ke negara asal.

Kata beliau semua yang ditangkap dibawa balik ke IPD Kota Kinabalu bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut kesalahan Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002). – SabahNewsToday