Pilih Bahasa

Warga emas didenda RM6,000 mengakibatkan kemalangan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Seorang warga emas didenda RM6,000 hari ini selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tawau kerana memandu tanpa cermat hingga mengakibatkan kemalangan dan dua beranak parah, Januari lalu.

Majistret Herlina Muse menjatuhkan hukuman itu terhadap Mustafa Koral, 67, dan memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mustafa membuat pengakuan itu atas pertuduhan dibawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukan denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh dibatalkan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang memandu kenderaan Hyundai Getz, nombor pendaftaran SAA9488G didakwa memandu tanpa cermat dan perhatian sewajarnya, di kawasan tamu Batu 5, Jalan Apas, kira-kira pukul 4.40 petang, 19 Januari lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh dari arah masjid Al-Raudahtul Jannah menuju ke rumahnya yang perlu melalui kawasan pasar tamu.

Ketika melalui pasar tamu itu, tertuduh terpijak pedal minyak yang sepatutnya pedal brek untuk memperlahan kenderaan kerana melalui lorong sempit yang menempatkan gerai di kiri dan kanan lorong.

Akibat kecuaian berkenaan, kenderaan dipandu tertuduh hilang kawalan dan merempuh gerai di pasar tamu dan melanggar Abdul Rahman Paddu bersama anaknya Ahmad Abdullah yang ketika itu sedang membeli buah di sebuah gerai.

Kemalangan itu mengakibatkan Abdul Rahman dan anaknya cedera parah.

Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Joan Lee. – SabahNewsToday