Pilih Bahasa

Warga emas maut dirempuh motosikal selepas belanja dapur

Oleh Mohd Adam Arinin

PUTATAN: Seorang pejalan kaki warga emas maut selepas dilanggar sebuah motosikal ketika melintas jalan di Jalan Kota Kinabalu – Papar, dekat simpang Kampung Ketiau, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata kejadian berlaku pada pukul 6.10 petang apabila mangsa, Tawasil Dinti, 70, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Ketiau selepas membeli barang keperluan dapur.

Mangsa maut selepas dilanggar motosikal di Jalan Kota Kinabalu – Papar, dekat simpang Kampung Ketiau, Penampang. Gambar SNT/Ihsan IPD Penampang

“Hasil siasatan awal polis mendapati motosikal yang melanggar mangsa ditunggang oleh seorang lelaki berusia 21 tahun dari arah Putatan menuju ke Kinarut.

“Akibat jarak yang terlalu dekat diantara motosikal dan mangsa, pejalan kaki terbabit dirempuh dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd Haris, penunggang motosikal itu mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk menerima rawatan lanjut.

“Ketika ini kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.” katanya. -SabahNewsToday