Pilih Bahasa

Warga emas maut, kereta bertembung kenderaan pacuan empat roda

Oleh Junaidi Ladjana

KENINGAU: Seorang pemandu maut selepas kereta dipandunya bertembung kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 32, Jalan Tenom – Keningau, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa Tinsim Petek, 69, yang memandu kereta Proton Waja meninggal dunia di lokasi kejadian.

Keadaan dua kenderaan yang terbabit kemalangan di KM32 Jalan Tenom-Keningau. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata Proton Waja dipandu mangsa dari arah Tenom menuju ke pekan Keningau.

“Sebaik tiba di tempat kejadian selepas melalui selekoh dipercayai mangsa hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

“Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu Toyota Hilux lelaki berusia 74 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam Proton Waja selepas bertembung dengan pacuan empat roda di KM32 Jalan Tenom-Keningau. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Shahrudin berkata siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau turut berada di lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan. -SabahNewsToday