Pilih Bahasa

WARGA EMAS MAUT, PEMANDU DAN PENUMPANG TOYOTA HILUX DIBURU POLIS

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Kenderaan dinaiki warga emas yang maut dalam kemalangan di Kilometer 48 Jalan Tawau-Kalabakan. – Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

TAWAU: Perjalanan seorang warga emas bersama dua saudaranya ke Hospital Tawau menaiki kenderaan jenis Proton Iswara bertukar tragedi apabila wanita terbabit maut dalam kemalangan di Kilometer 48 Jalan Tawau-Kalabakan, di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 7.15 pagi itu, mangsa, 71, maut akibat parah di bahagian kepala manakala saudara lelakinya yang memandu kenderaan itu turut cedera di bahagian kepala manakala seorang lagi tidak mengalami kecederaan. 

Bagaimanapun, pemandu dan penumpang Toyota Hilux terbabit melarikan diri dan pihak polis kini sedang giat memburu suspek.

Polis giat memburu pemandu dan penumpang Toyota Hilux yang melarikan diri daripada lokasi kejadian kemalangan. – Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata ketika kejadian, mangsa bersama dua saudaranya dalam perjalanan ke Hospital Tawau untuk menziarahi isteri saudaranya yang ditahan di wad terbabit. 

“Ketika tiba di tempat kejadian, saudara mangsa cuba memotong sebuah lori di hadapan sebelum bertembung dengan kenderaan jenis Toyota Hilux dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, kenderaan yang dinaiki mangsa terbabas sejauh lebih 18 meter manakala Toyota Hilux terbabit terbabas lebih 26 meter dari tempat pertembungan

“Pemandu dan penumpang Toyota Hilux kemudian melarikan diri manakala mangsa dibawa ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Katanya siasatan bagi mengesan kedua-dua suspek kini giat dijalankan.

Dalam pada itu Fadil berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana langgar lari. – SabahNewsToday