Pilih Bahasa

Warga emas wanita maut dirempuh bas

Oleh Alfred Petrus

RANAU: Seorang pejalan kaki warga emas wanita maut selepas dirempuh sebuah bas express di Kampung Paginatan, Kilometer 151.6, Jln Kota Kinabalu-Sandakan di sini petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Shahrul Abdul Wahab berkata mangsa Lahim Gomboling berumur 74 tahun dirempuh ketika cuba melintas jalanraya pada kira-kira jam 3 petang.

Polis trafik menyiasat di tempat kejadian. Gambar SNT/Ihsan IPD Ranau

“Siasatan awal mendapati, mangsa bergerak dari arah Klinik Kesihatan Paginatan berlari melintas jalan tanpa melihat kiri dan kanan jalan.

“Dalam pada itu, mangsa dilanggar sebuah Bas Express yang dalam perjalanan menuju ke Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Akibat daripada kemalangan itu, mangsa terhumban ke sebelah kiri jalan dan mengalami cedera parah pada bahagian kepala.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala, pemandu bas bersama 20 orang penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mohd Shahrul turut berkata siasatan berkenaan kes tersebut akan diteruskan. -SabahNewsToday