Pilih Bahasa

Warga Pakistan miliki pasport tanpa cop Imigresen ditahan

Oleh Junaidi Ladjana

LABUAN: Seorang lelaki warga Pakistan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan kerana melanggar syarat pas/permit dalam Ops Gelora di perairan Pulau Papan, di sini semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata ketika bot ronda dengan kekuatan empat anggota dalam tugas rondaan menahan dan memeriksa sebuah bot lajut berdaftar, jam 4.30 petang.

Lelaki warga Pakistan ditahan PPM Labuan kerana melanggar syarat pasport dalam Ops Gelora di perairan Pulau Papan, Labuan. Gambar SNT/Ihsan PPM Labuan

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang warga Pakistan berusia 22 tahun mengemukakan pasport tanpa pemeriksaan dan cop Imigresen Sabah.

“Suspek dipercayai menggunakan laluan Kuala Lumpur – Labuan – Kuala Lumpur untuk masuk dan keluar Sabah dengan cara mengelak pemeriksaan Imigresen,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Kata Pajeri pihaknya turut menemui tikat penerbangan Air Asia dari Labuan ke Kuala Lumpur.

“Suspek didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas/permit dan keberadaanya di Sabah meragukan.

“Suspek warga Pakistan kemudian di bawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Labuan untuk untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Pajeri menegaskan bahawa pihaknya sentiasa mengatur gerak aset bersama pegawai dan anggota menjalankan rondaan mahupun operasi pencegahan jenayah di perairan bagi memastikan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang dapat dibanteras dan ketenteraman awam di perairan terjamin.

“Kerjasama daripada komuniti setempat menyalurkan sebarang maklumat amat diharapkan,” jelasnya. -SabahNewsToday