Pilih Bahasa

Warga SK Sri Gaya berarak dan berselawat sempena Maulidur Rasul

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Seramai 500 murid dan guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya berarak sejauh tiga kilometer sempena Sambutan Maulidur Rasul 1441 Hijrah peringkat sekolah, pagi tadi.

Perarakan diiring selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW itu diadakan seawal jam 7.30 pagi dari sekolah ke kawasan perumahan berhampiran.

Yang Dipertua PIBG SK Sri Gaya Mohammad Arif Tun Sakaran mengetuai perarakan yang disertai seramai 500 murid dan guru SK Sri Gaya sempena Sambutan Maulidur Rasul 1441 di Taman Sri Gaya, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Penolong Kanan Ko Kurikulum SK Sri Gaya Dyah Shintawati Herry berkata sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah ini adalah acara tahunan SK Sri Gaya.

“Maulidur Rasul tahun ini disambut penuh ketaqwaan dan kesyukuran dengan pengisian pelbagai program bagi melahirkan kecintaan kepada Rasullah SAW.

“Selain dari mengadakan perarakan ini, kita juga turut melakukan selawat beramai-ramai dan mendengar ceramah keagamaan,” katanya ketika ditemui pada sambutan itu di SK Sri Gaya, di sini, hari ini.

Turut hadir bersama Yang Dipertua PIBG SK Sri Gaya Mohammad Arif Tun Sakaran. -SabahNewsToday