Pilih Bahasa

Warga UMS perlu yakin keputusan KPM dalam pelantikan NC ke-6: HiUMS

Oleh Zakaria Damit

KOTA KINABALU: Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) perlu yakin kepada keputusan Menteri Pendidikan Malaysia untuk menentukan pelantikkan barisan kepimpinan tertinggi mereka di masa depan.

Presiden Persatuan Himpunan Ilmuan UMS (HIUMS), Prof. Madya Dr Abdullah Bade berkata, dalam tempoh sama pihak atasan perlu membuka ruang yang besar mendengar pandangan serta pendapat warga UMS sebelum menamakan Naib Canselor yang ke-6 dalam tempoh terdekat.

Prof Madya Dr Abdullah Bade. Gambar Fail SNT

Katanya faktor lain perlu diambil perhatian iaitu individu terbabit hendaklah pernah menjawat jawatan kanan di peringkat UMS, beretika sekaligus bersih serta bebas daripada gejala rasuah.

“Sekiranya pelantikkan ke jawatan itu diambil dalam kalangan mereka yang mempunyai pengalaman pentadbiran bermula dari jawatan Timbalan Dekan, Dekan seterusnya sebagai Timbalan Naib Canselor dan berada serta memahami sistem pengurusan universiti, sudah tentu individu terbabit berupaya memacu kecemerlangan UMS ke tempat yang tertinggi dan terbilang.

“Apa yang paling penting bakal calon Naib Canselor itu nanti mampu bekerjasama rapat dan berupaya memupuk persefahman di kalangan semua peringkat bagi memenuhi aspirasi penubuhan UMS di negeri ini sejak 1994 lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sabahnewstoday.com di Kota Kinabalu petang tadi.

Dr Abdullah berkata, faktor pengalaman dalam mengurus tadbir sesebuah universiti merupakan kriteria utama yang perlu diambil kira selain mampu melahirkan mahasiswa cemerlang dalam pelbagai bidang di negeri ini.

“Kita mohon agar Menteri Pendidikan Dr Mazlee Malik supaya kerap turun ke UMS mengadakan lawatan kerja sambil mengadakan perbincangan dengan warga kampus sebelum mengumumkan pelantikkan berkenaan,” katanya.

Dr Abdullah menambah HiUMS sentiasa menyokong setiap keputusan yang diambil oleh Menteri Pendidikan Malaysia bagi terus mengekalkan fungsi utama UMS melahirkan mahasiswa yang cemerlang di masa depan.

Dikhabarkan Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamaruddin D Muddin akan menamatkan perkhidmatan pada penghujung bulan Julai ini.-SabahNewsToday