Pilih Bahasa

Warisan ambil tanggungjawab atas kekalahan PRK Parlimen Kimanis: Mohd Shafie

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Shafie Apdal. – Gambar SNT/Ihsan JKM

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjelaskan Parti Warisan Sabah (Warisan) mengambil tanggungjawab atas kekalahan calon parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau yang juga Presiden Warisan menegaskan bahawa selaku kerajaan hari ini mereka akan terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat secara keseluruhannya.

“PRK Parlimen Kimanis telah berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

“Terima kasih kepada para pengundi yang telah keluar beramai-ramai, sekaligus menyumbang kepada peratusan keluar mengundi yang tinggi pada hari pengundian.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua jentera parti yang bekerja kuat dan memberi sumbangan dalam PRK ini.

“Bagi pihak Parti Warisan Sabah, kita terima keputusan para pengundi di Kimanis. Mereka telah bersuara dan mereka telahpun membuat keputusan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri juga akan meneruskan usaha memperbaiki ekonomi, sistem pendidikan dan pembangunan infrastruktur di Sabah.

Apa yang penting, katanya pimpinan negeri perlu bersikap rendah diri dan sentiasa utamakan kepentingan rakyat tidak kira kaum dan agama. – SabahNewsToday