Pilih Bahasa

Warisan Bahagian Sepanggar buat laporan polis ke atas Papa Gomo

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Zakaria (kanan) bersama ahli Warisan Bahagian Sepanggar menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Papa Gomo kerana mengoyakan gambar tertera Ketua Menteri. – Gambar SNT/Ihsan Warisan Sepanggar

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Sepanggar membuat laporan polis terhadap `Papa Gomo’ atau nama sebenarnya WanMuhammad Azri Wan Deris kerana tindakannya mengoyakkan kertas tertera gambar Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Laporan itu dibuat pada pukul 3.29 petang tadi di Balai Polis Karamunsing Kota Kinabalu hari ini oleh Setiausaha Bahagian Warisan Sepanggar, Zakaria Damit.

Zakaria berkata pihaknya meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera agar Papa Gogo dikeluarkan dari negeri ini kerana tindakannya itu dikhuatiri mengundang perkara tidak diingini berlaku di Sabah.

“Kami juga memohon agar individu ini dihalang untuk memasuki Sabah untuk tempoh lama selepas didapati mewujudkan keadaan tidak aman akibat perbuatan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tindakan Papa Gomo mengoyakkan gambar Mohd Shafie tular di media sosial sejak semalam, dipercayai semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Zakaria berkata perbuatan itu nyata menimbulkan kemarahan rakyat Sabah yang rata-rata mengutuk kelakuan Papa Gomo kerana cuba membawa budaya samseng ke negeri ini. – SabahNewsToday