Pilih Bahasa

Warisan buka 19 PDM, sedia gerak jentera tawan Kimanis

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Arifin Asgali – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KIMANIS: Sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Parti Warisan Sabah (Warisan) telah mewujudkan sebanyak 19 buah pusat daerah mengundi (PDM) di kawasan tersebut.

Setiausaha Kerja Warisan, Arifin Asgali berkata pihaknya telah bersedia 100 peratus sejak pengumuman PRK Kimanis dibuat setelah pembatalan kemenangan Datuk Anifah Aman sebagai Ahli Parlimen Kimanis Disember lalu.

“Kita sudah merancang lebih awal dan bermula esok selepas penamaan calon, jentera Warisan akan bergerak dalam kempen ke seluruh Parlimen Kimanis.

“Penduduk di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bongawan dan Membakut juga sudah kita kenal pasti dan dalam tempoh kempen 14 hari ini jentera kita akan berkunjung ke setiap rumah penduduk,” katanya kepada SabahNewsToday hari ini.

Pada PRK yang akan diadakan pada 18 Januari ini, Warisan meletakkan Ketua Bahagian Warisan Kimanis, Datuk Karim Bujang, 67, sebagai calon parti itu manakala Ketua Umno Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, 48, dipilih calon Barisan Nasional (BN).

Karim merupakan calon Warisan bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRK14) lalu, namun beliau tewas dengan majoriti 156 undi kepada Anifah yang ketika itu bertanding atas tiket BN.

Dalam pada itu, Arifin yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri yakin Karim mampu menawan Kimanis dalam PRK kali ini berdasarkan pengalaman pemimpin veteran itu yang pernah menjadi wakil rakyat selama lima penggal.

“Kita yakin beliau (Karim) diterima oleh masyarakat, malah sambutan masyarakat amat menggalakkan. Kita akan buktikan pada pembuangan undi nanti bahawa beliau mampu menyumbang kerusi Kimanis kepada Warisan,” ujarnya.

Mengenai penerimaan pengundi muda di Parlimen itu, Arifin berkata Warisan yakin pengundi muda memerlukan pembaharuan dan peluang kerja seperti mana dinyatakan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa parti itu berusaha menunaikan janji mereka.

“Kita baharu memerintah dan sudah tentu kita belum mampu reliasasikan dalam tempoh 18 bulan sekaligus tetapi kita yakin dan percaya kita akan lakukan semua itu.

“Pengundi muda tidak semestinya perlukan wakil muda tapi mereka mahu pemimpin yang senang didekati dan fahami masalah mereka,” katanya.

Daftar pemilih bagi PRK Parlimen Kimanis merangkumi 29,664 pengundi yang terdiri daripada 29,654 pengundi biasa, sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara. – SabahNewsToday