Pilih Bahasa

Warisan mampu bawa pembangunan terbaik untuk rakyat

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Shafie dan Karim (tengah) disertai beberapa pemimpin Pakatan Harapan memberikan sokongan kepada calon Warisan selepas penamaan calon. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

BEAUFORT: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin rakyat khususnya pengundi di Parlimen Kimanis bijak dalam memilih calon paling sesuai untuk menjadi pemimpin di kawasan mereka pada hari pengundian 18 Januari nanti.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu memberitahu rakyat telah berjaya menunjukkan perubahan mereka kehendaki semasa menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa pilihan raya umum ke-14 lalu dan mengulangi kepercayaan kepada kerajaan hari ini semasa PRK Sandakan tahun lalu.

“Kita berharap pengundi Kimanis yakin bahawa perubahan di Sabah akan kita lakukan dengan lebih baik dengan peluang yang diberikan di bawah kerajaan negeri pimpinan Warisan dan rakan sekutu kita.

“Saya yakin perjuangan kita dapat realisasikan dengan usaha dan kerja keras selain doa dengan Allah SWT,” katanya kepada pemberita selepas penamaan calon PRK Kimanis di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir di sini, hari ini.

PRK Kimanis kali ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara calon Warisan iaitu Datuk Karim Bujang dan Datuk Mohamad Alamin mewakili Barisan Nasional (BN).

“Kalau di Sandakan kerajaan diwakili DAP boleh menang, takkan di Kimanis kita tidak boleh mengulangi pencapain itu.

“Bagaimanapun yakinlah kita kena bekerja keras. Yang penting kita perlu pastikan bahawa adanya kerjasama daripada semua parti pakatan seperti PKR, Upko, DAP, Bersatu dan Amanah,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie turut memuji pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana memastikan kelancaran proses penamaan calon hari ini. – SabahNewsToday