Pilih Bahasa

Warisan perhebat kempen, edar risalah pencapaian tadbir Sabah

Oleh Rohana Nasrah

KIMANIS, 8 Jan — Parti Warisan Sabah (Warisan) terus memperhebatkan kempen masuk hari kelima bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis hari ini, dengan mengedar risalah kepada rakyat kawasan ini berhubung pencapaian lebih setahun parti berkenaan memimpin dan mentadbir Sabah.

Pekerja pilihan raya Warisan menaikkan bendera parti. Gambar Bernama

Risalah itu antara lain sarat dengan maklumat mengenai industri silika, pengembalian konsesi balak, 10 bidang keberhasilan negeri, inisiatif pembaharuan dan penambahbaikan kerajaan negeri Sabah, inisiatif untuk belia, peluang pekerjaan ditawarkan serta usaha melindungi hak-hak anak negeri.

Setiausaha Biro Penerangan, Multimedia dan Pendidikan Warisan, Rapahi Idris berkata risalah itu akan diedarkan pada setiap ceramah selain pihaknya turut menyampaikan maklumat pencapaian parti secara lebih interaktif menggunakan gegantung yang dipamerkan di lokasi berkenaan.

Beliau berkata Warisan mengambil inisiatif itu bagi memberi penerangan sekali gus menguar-uarkan segala usaha dilakukan kerajaan negeri Sabah yang tidak diketahui rakyat khususnya di kawasan Kimanis.

“Usaha (menerbit dan mengedarkan risalah) ini dijalankan untuk memberi penerangan kepada rakyat bahawa sudah banyak dilakukan dan dicapai oleh kerajaan tetapi tidak diuar-uarkan di daerah ini.

“Kalau bercakap saja mungkin orang tidak berapa ingat atau faham. Tetapi, dengan cara ini (risalah) mungkin apabila di rumah, rakyat boleh baca,” katanya kepada Bernama, di sini.

Rapahi berkata pihaknya mengambil pendekatan cara lama tetapi tetap menerapkan elemen interaktif supaya rakyat mudah memahami sekali gus dapat menilai komitmen kerajaan negeri Sabah, di bawah pentadbiran Warisan, membawa pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

“Kita kembali kepada kaedah konvensional. Risalah ini boleh dibawa pulang ke rumah, boleh dibaca oleh orang yang tidak mempunyai telefon bimbit mahupun internet.

“Sekurang-kurangnya, 50 peratus daripada 100 orang yang baca dan lihat risalah ini, mungkin boleh memahaminya. Bagi kita, satu undi pun amat bermakna dan memberi kelebihan kepada kita,” katanya.

Sebelum ini, Warisan memperkenalkan pendekatan lebih santai menggunakan lagu artis tempatan Sabah bertajuk “Pembayaran Ansur-Ansur” bagi menawan hati pengundi di kawasan ini, pada hari kedua berkempen.

Irama lagu ciptaan dan nyanyian asal Thomas Intiang diubah suai dengan menerapkan lirik menarik yang sarat dengan mesej kempen pilihan raya selain bait lirik memujuk rakyat Kimanis mengundi calon nombor dua mewakili Warisan Datuk Karim Bujang.

Antara bait lirik menarik dalam lagu itu yang pastinya menggamit pengundi ialah: “Kalau mahu senang undilah Warisan… Kalau mahu maju undilah Karim Bujang… Undilah Parti Warisan…

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Karim dan calon BN Datuk Mohamad Alamin.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 18 Jan dan hari pengundian awal pada 14 Jan.

— BERNAMA