Pilih Bahasa

Warisan Sepanggar buat laporan polis terhadap pemilik akaun FB Verdon Bahanda

Oleh Zakaria Damit

KOTA KINABALU: Biro Keselamatan Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Sepanggar membuat laporan polis berhubung kenyataan yang dimuat naik oleh pemilik akaun dikenali sebagai Verdon Bahanda pada 24 April yang lalu yang seolah-olah menuduh Kerajaan Negeri pimpinan Warisan diuruskan oleh Pendatang Tanpa Izin (PTI).

Pengerusi AJK Biro Keselamatan Warisan Sepanggar, Sabar Dasad berkata pemilik akaun tersebut dilihat memuat naik kenyataan berbunyi ‘Rohingya baru tuntut nak jadi warganegara, orang semenanjung dah kalut. Kami yang orang asal Sabah yang diperintah Pendatang Tanpa Izin (PTI) pun releks sahaja’.

Sabar (tengah) bersama AJK Biro Keselamatan Warisan Sepanggar menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat hari ini. Gambar SNT/Ihsan Warisan Sepanggar

Katanya tujuan membuat laporan polis ini mengesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada pemilik akaun ini dalam tempoh terdekat.

“Kenyataan Verdon Bahanda ini menuduh seolah-olah Kerajaan Warisan Sabah yang ada pada hari ini adalah diuruskan PTI. Kenyataan ini juga dilihat menjurus kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana dilihat pemilik akaun ini juga seringkali membuat kenyataan yang kasar serta menjurus kepada isu perkauman di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Alamesra, dekat sini hari ini.

Sabar berkata perkara ini dilihat sangat serius memandangkan pemilik akaun ini secara berani memuat naik status ini di laman facebook yang boleh dilihat oleh ramai pengikut laman sosial di seluruh dunia.

“Kami mewakili barisan kepimpinan Warisan Bahagian Sepanggar pada hari ini menyeru semua barisan kepimpinan Parti Warisan Sabah di seluruh negeri Sabah agar tampil bersama-sama membuat laporan polis supaya tindakan tegas dapat diambil dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sabar menambah beliau difahamkan setakat ini sudah ada beberapa laporan polis dibuat namun ianya masih belum mencukupi sekaligus menyeru agar persatuan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis.-SabahNewsToday