Pilih Bahasa

Warisan sumbang kemenangan DAP di PDM Bumiputera Islam PRK Sandakan

Oleh Chris Maskilone

SANDAKAN: Peningkatan 17 peratus pengundi bumiputera Islam menunjukkan sumbangan kempen Parti Warisan Sabah (Warisan) telah membantu kemenangan DAP pada Pilihanraya Kecil Parlimen (PRK) Sandakan, Sabtu.

Ini diakui sendiri oleh Setiausaha Agung, Lim Guan Eng yang menyatakan DAP kali ini menang besar kerana menyapu bersih kesemua 19 Pusat Daerah Mengundi (PDM) termasuk kawasan pengundi bumiputra Islam iaitu Kampung Sim-Sim dan Pulau Berhala.

Donald (kanan) menerima ucapan terima kasih daripada Lim selepas pengumuman keputusan PRK Sandakan di Dewan Serbaguna SMJK Tiong Hua Sandakan semalam. Gambar SNT/Chris Maskilone

Pada Pilihanraya Umum ke-14, calon DAP ketika itu mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt gagal memenangi kedua-dua PDM tersebut.

“Kemenangan ini bukan semata-mata kemenangan DAP tetapi juga PH dan Warisan khususnya Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana buat pertama kali DAP menang di semua peti undi kubu kuat pembangkang,” kata Lim.

Sementara itu, Pakar Strategi Kempen Bahagian Politik Semporna, Datuk Donald Hj Hanapi yang bekerja keras mewakili Warisan Semporna dalam membantu kempen PRK Sandakan DAP berkata kejayaan tersebut turut menunjukkan bahawa Warisan semakin relevan di kalangan pengundi bumiputra Islam.

Menurutnya, sepanjang tempoh kempen mereka memberitahu pengundi bumiputera Islam bahawa undi mereka kepada DAP bermakna undi kepada Warisan.

“Sepanjang tempoh kempen, saya mewakili Warisan Semporna untuk memberi fokus kepada dua kawasan iaitu di PDM Kampung Sim Sim dan Pulau Berhala.

Donald bergambar kenangan dengan Vivian setelah berjaya menyumbang kepada peningkatan 17 peratus pengundi Bumiputera Islam di Sandakan kepada DAP. Gambar SNT/Chris Maskilone

“Saya juga agak mengenali ramai penduduk di kawasan ini kerana ramai dikalangan mereka terlibat dalam sektor pengangkutan awam. Justeru saya telah menyeru dan menggerakkan mereka untuk berkempen di kalangan ahli keluarga masing-masing,” katanya.

“Pada pilihanraya lepas, DAP tewas di kawasan ini yang diduduki oleh majoriti Islam bumiputera.

“Pada PRK kali ini, walaupun pengundinya belum terbiasa dengan simbol ‘Roket’ namun DAP mampu menyapu bersih di kedua-dua kawasan ini dan saya percaya kempen yang diusahakan oleh Warisan telah berjaya membuahkan hasil,” katanya.

Donald berkata selepas selesai proses pengiraan undi dan pengumuman kemenangan DAP, calon Vivian Wong Shir Yee secara peribadi telah mengucapkan terima kasih kepada pasukan kempen Warisan yang menyumbang kepada kenaikan undi di PDM Kampung Sim-Sim dan Pulau Berhala

Lim turut mengucapkan terima kasih kepada Donald dan pasukannya.

Donald dikenali di Sandakan kerana beliau ialah Presiden Majlis Pengusaha Bas Ekspres Sabah lebih 10 tahun.-SabahNewsToday