Pilih Bahasa

Warisan tidak terlibat edar ‘borang permohonan’, ianya kerja sindiket penipuan

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menegaskan ianya langsung tidak terlibat dalam pengedaran borang permohonan dokumen kerajaan yang kononnya diberikan kepada pendatang tanpa izin (PTI).

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata pengedaran borang berkenaan dipercayai gerakan licik sebuah sindiket yang cuba mengaut keuntungan dengan mengeluarkan borang palsu untuk dijual kepada PTI.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Sindiket ini cuba mengambil kesempatan terhadap warga asing yang sanggup membeli borang tersebut pada harga berapa sekalipun kerana terdesak untuk mendapatkan dokumen tanpa mengetahui mereka ditipu.

“Sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri, saya ingin mengesahkan bahawa tiada program pendaftaran PTI dilakukan kementerian melalui agensinya sama ada Jabatan Imigresen atau Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya hari ini.

Siasatan oleh pihak JPN turut mengesahkan borang yang diedarkan itu tidak pernah dikeluarkan langsung, malah terbukti palsu apabila masih menggunakan logo lama JPN yang sudah tidak dipakai, katanya.

Gambar borang permohonan dokumen kerajaan yang tular dalam media sosial. Azis menyatakan borang ini palsu. Gambar SNT/Ihsan Warisan

Beliau menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat penjualan borang palsu itu di mana-mana sahaja di Sabah agar menyalurkan maklumat kepada pihak polis agar dalang kepada sindiket ini dapat ditangkap dan dihukum.

Sehubungan itu, Warisan akan membuat satu laporan polis berkaitan perbuatan sindiket itu yang mencemar nama parti dan cuba mengaut keuntungan dengan memburuk-burukkan pimpinan Warisan, katanya.

Azis berkata demikian untuk menyangkal spekulasi dan tuduhan pabila tular beberapa keping gambar menunjukkan ‘borang permohonan’ dengan kepala surat JPN dan juga tertera simbol parti Warisan yang telah diisi.

“Tidak ada dalam dunia logo parti politik diletakkan di dalam borang kerajaan,” kata Azis.

Gambar yang turut disebarkan proses mengisi ‘borang permohonan’ sedang berlangsung. Gambar SNT/Ihsan Warisan

“Warisan sekali lagi ingin menegaskan bahawa parti ini yang mendapat sokongan penuh rakyat Sabah berpegang teguh kepada prinsip undang-undang negara dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa Kementerian Dalam Negeri untuk menyelesaikan masalah kewujudan PTI di Sabah mengikut lunas undang-undang.

“Sebagai parti yang memimpin Sabah, Warisan juga menyokong penuh setiap usaha pihak berkuasa membanteras kewujudan PTI di Sabah demi kesejahteraan rakyat,” kata Azis yang juga Ketua Wira Warisan.

Selain itu, katanya Warisan mendesak mana-mana parti pembangkang supaya menghentikan tuduhan politik kononnya Warisan memberi dokumen pengenalan diri kepada PTI.

Tuduhan ini yang disebar di media sosial sebenarnya membuka peluang kepada pihak sindiket untuk mengambil kesempatan terhadap pihak yang terpedaya dengan tuduhan-tuduhan palsu itu.

“Pemimpin-pemimpin pembangkang ini perlu disedarkan bahawa apa yang berlaku sekarang adalah hasil peninggalan ketika mereka menjadi kerajaan dahulu yang perlu dibersihkan oleh Warisan,” katanya.

Azis berkata perkara ini telah disahkan oleh Suruhanjaya DiRaja mengenai PTI di Sabah (RCI), malah buku ditulis oleh Dr Chong Eng Leong menerangkan bagaimana kerajaan terdahulu menggunakan PTI melalui Projek IC untuk menambah undi.

“Buku tersebut turut menyebut nama bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman terlibat dengan projek PTI tetapi beliau langsung tidak pernah menyangkal atau menyaman penulis berkenaan,” ujarnya.-SabahNewsToday