Pilih Bahasa

Wisma Wanita bakal menjadi ‘Must Stop Centre’ bagi pelancong

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) merancang untuk menjadikan bangunan Wisma Wanita sebagai destinasi ‘Must Stop Centre’ khusus kepada pelancong.

Pengerusi MPWS Datuk Noni Said berkata pihaknya kini mengadakan perbincangan termasuk perancangan menyediakan program menarik kepada pengunjung selain cadangan menukar logo MPWS kepada yang lebih moden.

Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) Datuk Noni Said (tengah) merakamkan gambar bersama para pemenang pada Majlis Apresiasi Pemenang Pertandingan Menulis Cerpen sempena sambutan hari wanita 2019 peringkat negeri Sabah di Zara’s Boutique Hotel, Kota Kinabalu. Turut kelihatan Pengerusi Jawatankuasa Wanita dan Media Majlis Penasihat Wanita Sabah Kapitan Eliza Goh (enam dari kiri). Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Bangunan itu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk pejabat badan bukan kerajaan (NGO) dan pusat latihan kemahiran yang membolehkan program pembangunan wanita dapat dirancang dengan lebih teliti dan teratur.

“Kita akan menjadikan bangunan Wisma Wanita ini sebagai ‘Must Stop Centre’ kepada pelancong yang datang ke Kota Kinabalu. Pihak MPWS kini merancang untuk menjadikan Wisma Wanita sebagai salah satu lokasi tumpuan pelancongan di sini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Pemenang Menulis Cerpen sempena sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah 2019 di Zara’s Boutique Hotel, di sini, pada Ahad.

Ketika merasmikan majlis itu, Noni berkata, pelbagai program dilaksanakan sepanjang sambutan Hari Wanita di Sabah termasuk pertandingan menulis cerpen.

“Penulisan cerpen ini mampu membantu untuk menerapkan kesedaran tentang kesaksamaan gender, memperjuangkan isu-isu membela nasib wanita yang ditindas dan banyak lagi.

Pengerusi MPWS Datuk Noni Said (dua kiri) menyerahkan hadiah wang tunai dan sijil kepada salah seorang peserta pertandingan menulis cerpen sempena hari wanita 2019 peringkat negeri Sabah di Zara’s Boutique Hotel, Kota Kinabalu. Turut kelihatan Pengerusi Jawatankuasa Wanita dan Media Majlis Penasihat Wanita Sabah Kapitan Eliza Goh (kiri). Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kita memberikan peluang sama rata kepada wanita untuk terus menyumbang kepada masyarakat dengan produktif tanpa abaikan tanggungjawab masing-masing terhadap keluarga,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah Masturah Jamrah berkata tuhuan penganjuran pertandingan itu juga adalah bagi menonjolkan imej serta gaya hidup wanita yang positif dalam media.

“Ia juga memberi ruang, pendedahan dan kesedaran kepada lelaki serta wanita agar tidak mengekploitasikan imej wanita dalam media,” katanya.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Wanita dan Media Majlis Penasihat Wanita Sabah Kapitan Eliza Goh.

Pada majlis itu cerpen bertajuk Karisma karya Badariah Arbin berjaya dipilih sebagai pemenang utama dalam pertandingan menulis cerpen kategori Bahasa Malaysia sempena Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah 2019.

Badariah yang berasal Sandakan berjaya membawa pulang hadiah pertama berupa wang tunai bernilai RM500 dan sijil.

Tempat kedua dimenangi oleh Sharifah Aisiah Syed Mahazar dari Kelantan dengan tajuk cerpen Sebutir Ikhlas di Laut Juang membawa pulang hadiah wang tunai RM400 dan sijil.

Manakala cerpen bertajuk Emak karya Norfazliana Mohd Yussof dari Kedah ditempat ketiga dan membawa balik hadiah RM300 bersama sijil.

Dalam pertandingan itu juga, seramai tiga pemenang saguhati turut membawa pulang hadiah wang tunai masing-masing RM100 dan sijil.

Bagi kategori Bahasa Inggeris pula, Dr Maskiah Masrom dari Johor berjaya mendapat tempat pertama, Saila Saidie dari Manggatal tempat kedua dan ketiga oleh Ferizah Casimir dari Penampang.

Mereka masing-masing turut membawa hadiah wang tunai RM500, RM400 dan RM300 bersama sijil. -SabahNewsToday