Pilih Bahasa

Wujudkan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Sabah atasi masalah SILF: Joniston

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU:  Kerajaan Sabah diminta menimbangkan untuk mewujudkan satu kementerian baharu yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dalam negeri atau homeland security.

Cadangan dibuat oleh Adun Kiulu (PBS) Datuk Joniston Bangkuai berdasarkan kehadiran lebih 200,000 apa yang dipanggil oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai Sabah Inland Foreigners -SILF (pendatang asing yang datang dari dalam negeri).

Datuk Joniston Bangkuai ketika membahaskan usul ucapan terimakasih terhadap ucapan dasar kerajaan Yang diPertua Negeri hari ini. Gambar SNT/Ihsan DUN Sabah

Golongan SILF terdiri daripada pemegang dokumen IMM13 dan kanak-kanak tanpa dokumen.

“Jikalau boleh diadakan bagi kesihatan dan pelajaran mengapa tidak kita adakan satu kementerian khas untuk menjaga keselamatan dalam negeri (Sabah),” katanya.

“Ini akan menunjukkan keikhlasan serta keseriusan kerajaan dalam mengatasi masalah ini,” katanya semasa menyertai perbahasan usul terimakasih terhadap ucapan dasar kerajaan Yang diPertua Negeri di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Dengan adanya Kementerian Keselamatan Dalam Negeri ini, golongan SILF akan dapat dipantau dengan lebih berkesan.

“Ini hanya sekadar cadangan. Kita juga punya perasaan perikemanusiaan.

“Namun dalam masa yang sama, jikalau mereka terus dibiarkan menetap di Sabah lambat laun mereka akan layak untuk memohon status Permastautin Tetap (PR) dan lima tahun kemudian layak memohon kewarganegaraan,” katanya.

Ini merupakan kebimbangan orang asal Sabah, katanya.

Walaupun pemberian kewarganegaraan adalah dibawah bidang kuasa persekutuan namun kerajaan negeri mempunyai kuasa atas pemberian PR.

Joniston berharap tindakan membenarkan mereka tinggal di Sabah hanyalah sebagai langkah terakhir.

Beliau berpendapat kementerian keselamatan dalam negeri yang dicadangkan ini bukan sahaja dapat memantau dengan lebih berkesan tetapi juga berupaya mencari jalan penyelesaian berpanjangan.

TANGGUHKAN PROJEK KERETA API KK-KUDAT 

Joniston juga meminta kerajaan menimbang semula cadangan projek perkhidmatan kereta api KK – Kudat yang bernilai lebih RM5 billion.

Cadangan tersebut bukanlah satu keutamaan memandangkan projek mega Lebuh Raya Pan Borneo sedang rancak berjalan, katanya.

“Memandangkan projek Lebuh Raya Pan Borneo sudah meliputi laluan KK-Kudat, saya mencadangkan projek kereta api ini ditangguhkan dan peruntukan sebanyak RM5 bilion ini digunakan untuk membaiki atau membina jalan-jalan di luar bandar.”

DEWAN BAHASA ETNIK SABAH

Joniston juga mencadangkan supaya satu badan yang dipanggil Dewan Bahasa Etnik Sabah diwujudkan bagi memperkasakan bahasa ibunda negeri Sabah.

Badan ini boleh bekerjasama dengan persatuan-persatuan etnik di Sabah dan menjadi badan ‘authoritative’ dalam bahasa etnik negeri ini.

Dewan Bahasa Etnik Sabah ini boleh diletakkan dibawah Kementerian Pelajaran dan Inovasi Negeri, katanya.

PERCEPATKAN PROSES PENAIKTARAF KIULU SEBAGAI DAERAH KECIL

Dalam hal berlainan, Joniston memohon agar proses menaiktaraf Kiulu sebagai daerah kecil dan mewujudkan pejabat daerah kecil Kiulu dipercepatkan.

“Untuk makluman sejurus saja kelulusan penaikan taraf Kiulu ke daerah kecil pada awal tahun lalu, pihak pejabat daerah Tuaran dan agensi berkaitan, atas arahan Setiausaha Kerajaan Negeri telah mengenalpasti cadangan tapak untuk bangunan urusetia daerah kecil Kiulu dan oleh yang demikian rakyat Kiulu berharap pewujudan daerah kecil Kiulu tidak dilengahkan,” katanya.-SabahNewsToday