Pilih Bahasa

YAMANI HAFEZ DIDESAK LETAK JAWATAN MP SIPITANG

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

SIPITANG: Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Sipitang mendesak Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa melepaskan jawatannya sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Mereka mendakwa, Yamani Hafez telah mengkhianati sokongan rakyat di kawasan itu yang telah memilih beliau sebagai Ahli Parlimen Sipitang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Yamani Hafez Musa. – Gambar Fail SNT

Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Mohd  Samlih Juaisin berkata, sehingga kini Yamani Hafez masih belum mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Sipitang, sedangkan persidangan Parlimen telah berlangsung beberapa kali.

“Ini memberikan gambaran seolah-olah beliau tidak berminat menjadi Ahli Parlimen, selain telah mengabaikan amanah serta tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat yang memilih beliau di kawasan ini” katanya.

Mohd Samlih berkata, kegagalan Yamani Hafez mengangkat sumpah memberikan gambaran beliau hanya berminat menjadi Ahli Parlimen sekiranya Barisan Nasional (BN) memerintah.

Mohd Samlih Juaisin. – Gambar SNT / Ehsan Warisan Sipitang

Katanya, gambaran itu jelas memperlihatkan beliau lebih mementingkan kedudukan dan pangkat daripada berkhidmat kepada rakyat yang memberikan sokongan kepada beliau selama ini.

Sehubungan itu, katanya, demi keadilan kepada pengundi dan rakyat di kawasan itu, beliau wajar meletak jawatan segera dan membiarkan pengundi di kawasan itu untuk memilih wakil rakyat baharu yang lebih berwibawa dan bertanggungjawab kepada rakyat.

Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff MD Yusof mengingatkan Yamani Hafez agar tampil mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat sebelum hilang kelayakan.

Beliau berkata, isu itu tidak boleh dibiarkan berpanjangan dan Yamani Hafez patut sedar akan tanggungjawabnya.

Menurut Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan, seseorang ahli Parlimen yang dipilih perlu mengangkat sumpah jawatan dalam tempoh enam bulan dari tarikh Dewan Rakyat bersidang buat kali pertama.

Berdasarkan pengiraan enam bulan dari hari pertama mesyuarat pertama Dewan Rakyat, Yamani Hafez perlu mengangkat sumpah jawatan sebelum pertengahan Januari tahun depan. – SabahNewsToday