Pilih Bahasa

Yayasan Osimal sumbang bahan ‘reagents’ kepada Jabatan Kesihatan Sabah

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Sebuah badan kebajikan, Yayasan Osimal telah tampil menghulur bantuan bahan ‘reagents’ kepada Jabatan Kesihatan Sabah bagi meneruskan saringan Covid-19.

Yayasan Osimal yang dipengerusikan oleh mantan Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum terpanggil membuat sumbangan tersebut setelah mengetahui bahawa Jabatan Kesihatan kehabisan bahan ‘reagents untuk Covid-19 sejak 24 Mac.

“Yayasan Osimal berjaya mendapat bekalan bahan ini tetapi amat terhad dan telah pun menyerahkannya kepada Jabatan Kesihatan petang tadi. Usaha juga sedang dibuat bagi mendapatkan lagi banyak bekalan daripada pembekal di luar negara,” kata Yayasan tersebut dalam satu kenyataan.

Yayasan Osimal juga sedang menantikan bekalan peralatan perlindungan peribadi (PPE) iaitu penutup mulut dan hidung serta merancang untuk membeli alat bantuan pernafasan bagi kegunaan hospital-hospital di Sabah.

“Ini dapat diusahakan menggunakan dana yang didermakan oleh rakan-rakan Osimal serta badan korporat,” tambah Yayasan tersebut.

Sebelum ini Osimal telah menyelaraskan pembinaan asrama di beberapa sekolah di pedalaman Sabah dan menaja pendidikan pelajar yang tidak bernasib baik di Membakut dan Papar.

“Jika mana-mana organisasi atau kerajaan negeri yang bersetuju menangguh sebahagian daripada jumlah kos, ia amat dialu-alukan,” menurut Osimal.

Syarikat terkenal yang bermurah hati menghulurkan sumbangan kepada Yayasan Osimal dalam usaha memerangi penularan wabak COVID-19 ialah Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan Berjaya Land Bhd.-SabahNewsToday