Pilih Bahasa

Yayasan Sabah hulur bantuan kepada petugas Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas

KOTA KINABALU: Yayasan Sabah tampil membantu bagi mengurangkan kesukaran yang ditanggung oleh pasukan petugas di barisan hadapan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas.

Rombongan yang diketuai oleh Pengurus Kumpulan Penyelaras Pentadbiran Bahagian Zulkhairi Ismail pagi tadi turut menyampaikan beberapa sumbangan berupa kerusi plastik, tilam, bantal, meja dan air minuman.

Sumbangan dari Yayasan Sabah disampaikan kepada wakil Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas. Gambar SNT/Ihsan Yayasan Sabah

Menurut beliau sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada tanggung jawab sosial Yayasan Sabah kepada petugas hadapan dalam menangani menangani isu Covid-19.

“Kita memahami bukan sedikit cabaran dan risiko yang dihadapi oleh petugas di barisan hadapan yang amat memerlukan sokongan dari semua pihak apalagi hospital ini menjadi pusat kuarantin kepada pesakit saringan virus yang merbahaya seperti Covid-19 ini.” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan ringkas tersebut.

Menurut Zulkhairi yang juga Pengurus Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Utara para doktor, jururawat dan pasukan keselamatan serta petugas-petugas lain yang terlibat secara langsung untuk menangani wabak Covid-19 ini mereka tidak ada masa untuk berehat kerana terpaksa memberi tumpuan yang serius, justeru dengan sedikit sumbangan ini turut menguatkan semangat mereka untuk terus berkhidmat dan berbakti kepada rakyat.

Setakat ini sejumlah 82 kes positif covid-19 dilaporkan di negeri dan satu kematian turut dilaporkan berlaku di Tawau.

Zulkhairi menambah sudah tiba masanya untuk semua pihak jabatan,agensi kerajaan, badan badan NGO dan politik tampil menghulurkan bantuan yang sesuai bukan sahaja bagi petugas dibarisan hadapan juga pelajar pelajar yang terkandas di institusi pengajian tinggi di negeri ini dan mereka yang terkesan dengan musibah ini.

“Kita ketepikan prasangka berbaur politik bila ada pihak bersedia menghulurkan bantuan seperti ini, sebaliknya kita perlu bersatu membantu kerajaan dan petugas menangani musibah ini, kita perlu menunjukkan semangat dan sikap kebersamaan menangani dan mendepani wabak COVID 19-ini,” jelas Zulkhairi.

Turut hadir Pengurus Kumpulan, Yayasan Sabah, Bahagian Pantai Barat Hanafiah Diman, Timbalan Pengarah (Pengurusan) Azman Poji, Penolong Pengarah (Pengurusan) Raffie Anak Akai, Penolong Pengarah (Pengurusan) Dr Amirul Mohd Sallehuddin Mannnan dan Penolong Pengarah (Unit Kualiti) Dr Wong Wei Kong.-SabahNewsToday