Pilih Bahasa

YB Vivian lawat kubur bapa esok

Oleh Chris Maskilone

SANDAKAN: Vivian Wong Shir Yee akan melawat kubur bapanya di Tanah Perkuburan Kristian Batu 12 esok.

Itulah perkara pertama yang akan dibuatnya selepas memenangi PRK Sandakan apabila ditanya tadi.

Calon DAP Vivian Wong Shir Yee pada sidang media pertamanya selepas disahkan sebagai pemenang PRK Sandakan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Vivian memberikan senyuman lebar apabila namanya diumumkan sebagai pemenang PRK Sandakan di SMJK Tiong Hua di sini malam ini.

Beliau mendapat 16,012 undi untuk menang dengan majoriti 11, 521 undi keatas empat lagi calon iaitu Datuk Linda Tsen dari PBS dan tiga calon bebas Hamzah Abdullah, Sulaiman Samat dan Chia Siew Yung.

Ibu Vivian, Datin Florence Chong memeluk anaknya. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Vivian, 30 melahirkan ucapan terima kasih dengan sokongan rakyat Sandakan terhadapnya sehingga beliau menang.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Parti Warisan Sabah terutama Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang telah membantu dalam PRK ini.

Menurut beliau, sokongan itu bukan hanya untuk dirinya, tetapi juga bagi Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Pakatan Harapan (PH).

“Saya ingin berterima kasih terutama kepada pengundi mendiang bapa, Datuk Stephen Wong Tien Fatt kerana memberi kepercayaan kepada saya sebagai anaknya untuk menerajui Parlimen Sandakan dan dalam masa sama mereka percaya yang saya boleh melakukan kerja dengan baik seperti beliau (Stephen),” katanya.

Vivian juga berterima kasih dengan mendiang bapanya yang telah membina asas kepimpinan parti dengan baik di Sandakan sekaligus membolehkan rakyat setempat terus mempercayai DAP dan PH.

“Saya telah buat yang terbaik dan saya agak terkejut kerana mendapat lebih majoriti berbanding mendiang bapa sebelum ini.

“Walaupun banyak tekanan fizikal dan mental, tetapi saya bersyukur kerana saya berjaya melaluinya,” jelasnya.-SabahNewsToday