Pilih Bahasa

Youth Forward bantu belia dapatkan latihan kemahiran

Oleh Alfred Petrus

PENAMPANG: Program Institut Automotif, Robotik dan Internet of Thing (IOT) Malaysia (Marii) ditambah nilai dengan program modal insan iaitu ‘Youth Forward’ hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Marii, Datuk Madani Sahari berkata ‘Youth Forward’ adalah program yang dirancang sebagai alternatif untuk pelajar sekolah menengah yang mana tidak berlandaskan pendidikan akademik.

Madani (dua kiri) ketika sidang akhbar berkenaan. Gambar SNT/Ihsan Marii

“Melalui Youth Forward, para pelajar akan dilatih dalam pelbagai modul berasaskan kemahiran untuk menjadi sebahagian daripada tenaga kerja mahir negara dalam pelbagai sektor.

“Marii telah mengekalkan prinsipnya dalam menyediakan peluang kepada semua lapisan masyarakat, termasuk belia kita. Kami percaya bahawa terdapat pelbagai latihan untuk memenuhi latar belakang dan tahap pendedahan yang berlainan.

“Dan program Youth Forward kini menjadi titik akses ke arah kejayaan menerusi latihan kemahiran,” katanya satu sidang akhbar, di Marii Satellite Sabah, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa pembangunan bakat atau kemahiran melalui program berkenaan akan membolehkan akses kepada keupayaan lebih tinggi seterusnya membolehkan pelajar membangunkan keupayaan yang berdaya maju untuk masa depan mereka.

Katanya para peserta program bakal menjalani sesi teori diikuti dengan latihan industri yang akan dijalankan selama lima bulan dalam pelbagai industri.

“Fasa teori akan bermula tiga kali seminggu dalam tempoh empat bulan.

“Semasa fasa teori, para peserta akan menjalani modul dengan tujuan memberi pengetahuan dan pemahaman tentang asas-asas, proses asas, pengurusan kerja serta kemahiran lain.

“Sebanyak 30 modul akan dijalankan semasa sesi ini termasuk, pengenalan kepada industri 4.0, perucapan awam, pengurusan masa, keselamatan di rumah serta kenderaan, penambahbaikan kemahiran komunikasi, pengurusan kewangan, kemahiran hidup dan tabiat yang berkesan,” katanya.

Jelasnya penempatan peserta dalam industri semasa tempoh praktikal akan memberi mereka pendedahan yang bermanfaat kepada persekitaran kerja sebenar, budaya dan proses kerja pelatih yang sebagai persiapan sebelum diserap sepenuhnya ke dalam industri.

Sementara itu, tambahnya kira-kira 200 peserta dijangka mendaftar untuk program perintis Youth Forward. -SabahNewsToday