Pilih Bahasa

Yusof nafi ugut pegawai kerajaan sokong pembangkang

KIMANIS, 11 Jan — Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Dr Yusof Yacob menafikan dakwaan di media sosial bahawa beliau mengugut pegawai kerajaan yang memberi sokongan kepada parti pembangkang.

Yusof, yang juga Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, berkata Warisan yang menerajui kerajaan negeri Sabah tidak mengamalkan konsep seumpama itu.

Datuk Dr Yusof Yacob. Gambar Fail SNT

“Saya hanya memberi kefahaman kepada pegawai kerajaan jangan terlibat dalam politik. Mereka perlu memberi perkhidmatan kepada kerajaan hari ini.

“Warisan mengetuai kerajaan negeri Sabah dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat kerajaan Persekutuan. Kalau mereka berpolitik, maknanya tidak dapat menyampaikan khidmat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui pada Karnival Kerjaya Kimanis di Membakut, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas video tular di media sosial mengenai ceramahnya ketika kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis, baru-baru ini, yang didakwa mengugut akan memecat pegawai kerajaan yang menyokong parti pembangkang.

Yusof berkata penting bagi pegawai kerajaan tidak terlibat dalam politik supaya mereka telus dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata tindakan penjawat awam yang memburukkan kerajaan, termasuk di media sosial tidak mencerminkan etika mereka sebagai seorang pegawai kerajaan.

“Apa yang penting adalah menjaga keharmonian tanpa mengira suku kaum dan agama serta fahaman politik,” jelasnya.

— BERNAMA