Pilih Bahasa

Zaini galas tugas Pesuruhjaya Polis Sabah baru

Oleh Junaidi Ladjana

Datuk Zaini Jass. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Datuk Zaini Jass dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah, berkuat kuasa hari ini.

Zaini sebelum ini yang memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah mengambil alih tugas itu daripada Datuk Omar Mammah yang bersara wajib.

Majlis serah terima tugas antara kedua-duanya disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, di Dewan Auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan, hari ini.

Bekas Setiausaha Polis Malaysia, Urusetia Pejabat Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Mazli Mazlan dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis sabah.

Omar yang berkhidmat dalam polis sejak 1989, dalam ucapannya berkata, semua kenangan dan pencapaian sepanjang berkhidmat menerajui Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah tidak akan dilupakan.

“Saya amat berpuas hati dengan budaya kerja ‘team work’ yang diterapkan dan diamalkan dalam setiap penugasan ditambah pula dengan keberaniaan pegawai dan anggota yang sanggup menempuh pelbagai risiko.

“Ini telah membuahkan hasil yang membanggakan dengan beberapa kejayaan bermakna buat PDRM Sabah sepanjang 2018 hingga awal tahun ini,” katanya.

Menurutnya, perancangan dan usaha dalam pelan pencegahan jenayah serta hala tuju kontinjen Sabah dapat diteruskan demi ketenteraman dan keselamatan masyarakat di negeri ini.

Dalam ucapan balas, Zaini berkata beliau merakamkan ucapan jutaan terima kasih kerana banyak memberi tunjuk ajar, panduan, dorongan serta bimbingan dalam menjalankan tugaa sepanjang beliau bertugas di Kontinjen Sabah dalam tempoh setahun lebih.

“InsyaAllah saya akan meneruskan dan mengekalkan kecemerlangan PDRM Sabah dalam mengekang dan mencegah anasir yang cuba menggugat keharmonian rakyat negeri ini,” katanya. – SabahNewsToday