Pilih Bahasa

Ziarah kasih Aidilfitri Wira Warisan Papar dekati masyarakat kurang bernasib baik

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Fakhurrazi (tengah) bersama rombongan menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan pada program Ziarah Kasih Siri Dua di beberapa kawasan Pantai Manis Papar. – Gambar SNT/Ihsan Wira Warisan Papar

PAPAR: Meraikan insan-insan yang kurang bernasib baik khususnya sepanjang Ramadan sentiasa menjadi keutamaan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Sempena Ramadan kali ini, Wira Warisan Bahagian Papar mengambil peluang mengadakan Program Ziarah Kasih Aidilfitri ke beberapa kampung di daerah itu bagi menyampaikan sumbangan kepada golongan orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik, pesakit lumpuh, serta golongan miskin.

Ketua Wira Warisan Bahagian Papar, Mohd Fakhurrazi Aliuddin berkata program tersebut merupakan program julung kali diadakan selepas pemilihan jawatankuasa baharu di peringkat bahagian.

Mohd Fakhurrazi menyampaikan bantuan kepada penduduk kampung di Dun Papar yang disumbangkan oleh Yayasan Afat Rahman. – Gambar SNT/Ihsan Wira Warisan Papar

Menurutnya usaha itu juga dilihat membantu menyelamai kesusahan dan penderitaan yang dialami golongan memerlukan untuk diambil perhatian dan menjadi salah satu khidmat sosial masyarakat dalam kalangan ahli parti.

“Jawatankuasa Warisan Bahagian Papar baharu bersama Wira-wira penggerak Warisan Papar berganding bahu bagi memastikan matlamat parti untuk mendekati golongan akar umbi bagi mendengar dan melihat sendiri keadaan dan keperluaan golongan ini agar dapat disuarakan kepada pemimpin atasan.

“Ia penting agar tindakan serta usaha untuk mencari jalan bagi membantu golongan ini dapat dilihat kerana Wira selaku sayap parti merupakan telinga dan mata kepada kerajaan negeri pimpinan Warisan bersama Upko dan Parti Harapan,” katanya.

Mohd Fakhurrazi (tiga dari kanan) bersama penduduk kampung yang menerima bantuan daripada Yayasan Afat Rahman. – Gambar SNT/Ihsan Wira Warisan Papar

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Afat Rahman bagi membantu golongan kurang bernasib baik di beberapa buah kampung di sekitar daerah itu baru-baru ini.

Mohd Fakhurrazi berkata pihaknya yakin program sebegini dapat memupuk semangat muhibah antara Wira Bahagian Papar bersama masyarakat setempat.

Beliau menambah program yang melibatkan sayap Wira Warisan Bahagian Papar bersama Wira Pergerakan Papar itu akan diadakan secara berterusan bagi menziarahi dan mengetahui permasalahan serta keperluan rakyat di peringkat akar umbi. – SabahNewsToday